3 tahun menjanda, Atilia Haron temui cinta baharu

SELEPAS tiga tahun menjanda, penyanyi Atilia Haron mendedahan hatinya kini sudah terisi dengan cinta baharu.

Tanpa berselindung, pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron itu berkata, jejaka yang berjaya membuka pintu hatinya merupakan pengarah yang bertanggungjawab menghasilkan video muzik lagu terbaharunya, Cinta Sampai Mati.

“Ada yang dekati saya, sebenarnya dia yang mengarahkan video muzik saya. Nama dia Shimy Latif, hampir dua tahun saya kenal dia.

“Berada dalam industri sama membolehkan kami saling memahami dan kini dalam fasa mengenal hati budi masing-masing.

“Sikap Shimy berlawanan dengan saya , jadi saya fikir dia pasangan yang mungkin serasi dengan saya,” katanya yang menyerahkan perihal jodoh kepada Tuhan.

Dalam masa sama, puteri kepada penyanyi Salamiah Hassan itu mengakui masih berkawan baik dengan bekas suaminya, Adam Sofian meski tidak lagi hidup bersama.

“Sudah lama kami tidak bersama (bercerai), sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi tetapi kami tetap bersahabat baik. Tambahan pula dia juga orang industri.

“Ramai sebenarnya yang kasihankan saya selepas bercerai, yelah saya nak dekat menopaus. Umur pun cecah 49 tahun, tiada anak, ibarat hidup seorang diri.

“Tapi, sejujurnya saya gembira menikmati rutin harian yang padat, ada sahaja aktiviti dari pagi sampai malam,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya lagi, tidak seperti yang disangka ramai, banyak perkara menarik dapat dilakukannya selepas hidup sendiri.

“Apabila kembali solo, saya dapat buat banyak benda yang tidak dapat saya lakukan ketika berkahwin seperti menyesuaikan diri dengan teknologi selain melakukan aktiviti yang membahagiakan saya.

“Sebenarnya, individu solo tak semestinya tak gembira, cuma orang salah faham. Hakikatnya saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan video muzik Cinta Sampai Mati, hari ini.

Sebagai rekod, sebelum ini Atilia pernah mendirikan rumah tangga dengan jurutera bunyi, Adam Sofia pada Ogos 2014 dan tidak dikurniakan zuriat.

Sebelum itu, Atilia pernah berkahwin dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada Disember 1998 namun bercerai pada Januari 2009. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok