55 tahun, Awie bakal timang cahaya mata ketujuh!

“SAYA segan sebenarnya nak cakap. Tapi alhamdulillah, rezeki Allah SWT.”

Demikian respons penyanyi tersohor negara, Datuk Awie mengesahkan bahawa isterinya, Sharifah Ladyana kini sedang hamil anak kedua selepas tujuh tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Kehamilan tidak dirancang itu sekali gus manyaksikan Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman bakal bergelar bapa kepada tujuh orang cahaya mata termasuk anak daripada dua perkahwinannya terdahulu.

Awie ketika dihubungi HibGlam berkata, dia sebenarnya malu untuk menghebahkan berita tentang kehamilan isterinya itu kerana sedar faktor usianya yang kini sudah pun mencecah 55 tahun.

“Segan nak cakap sebab saya pun bukan muda lagi. Tapi apa-apa pun, alhamdulillah saya anggap kehamilan isteri ini sebagai satu rezeki dan menyambutnya dengan baik.

“Mungkin kehamilan ini juga menjadi hadiah hari jadi saya yang disambut semalam,” katanya.

Tambah vokalis kumpulan Wings itu lagi, isterinya baru sahaja disahkan hamil dan masih berada di peringkat awal untuk dihebah-hebahkan.

Bagaimanapun, Awie berharap, agar segala urusan kehamilan isterinya tersayang akan berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Masih lagi awal (kehamilan). Apa yang saya boleh harapkan, agar isteri dan kandungannya sihat-sihat sahaja. Doakan semoga semuanya dipermudahkan.

“Selagi Allah SWT izinkan, insya-Allah,” kata Awie yang juga tidak kisah tentang jantina anak ketujuhnya itu nanti.

Terdahulu, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016. Mereka kemudiannya dikurniakan cahaya mata pada 2020.

Awie sebelum itu pernah berkahwin dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha. Mereka bercerai pada 1 November 2014.

Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok