“SAYA yakin Azal mampu kerana dia bertanggungjawab dan setia orangnya.”
Demikian perkongsian pelakon, Zarina Zainuddin yang menyifatkan anak istimewanya, Azal Azrai sebagai lelaki setia dan mampu menjadi suami bertanggungjawab.
Katanya, tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu selain dapat melihat anak kesayangan hidup bahagia dengan insan dicintai.
“Sebagai ibu, saya memang berharap nak tengok Azal kahwin dan rasa bahagia dengan adanya isteri yang menjaga dan menyayanginya.
“Saya sangat yakin Azal mampu kerana dia bertanggungjawab. Macam mana dia dengan saya, jaga saya. Saya pergi mana-mana pun dia ikut. Dia seorang yang setia.
“Saya rasa bila dia dapat seorang wanita, seorang isteri, dia akan jaga dengan sangat baik sekali,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Pada masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu berharap Azal atau nama sebenarnya Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan, 27, dipertemukan dengan wanita yang menyayanginya seikhlas hati.
“Saya harapkan adanya seorang wanita yang boleh berikan dia kasih sayang, jaga makan minum dan ikhlas menjaganya.
“Insya-Allah, semoga Allah permudahkan,” luah pelakon berusia 54 tahun itu lagi.
Baru-baru ini Zarina mendedahkan Azal dalam fasa mengenali hati budi seorang wanita asal Indonesia yang dikenali sebagai Rahmah, 26.
Mereka rapat selepas sama-sama terbabit dengan beberapa ekspo perniagaan di Singapura, namun belum ke peringkat lebih serius iaitu perkahwinan.
Menerusi perkongsian satu lagi video semalam, Azal ketika ditanya ibunya menyatakan dia bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.
Selain Azal, Zarina dan suaminya, Datuk Seri Dr Abdul Raihan Wan Jaafar turut dikurniakan Muhammad Razil Azrai yang juga kembar Azal serta Muhammad Naim Azraidan dan Muhammad Adam Azrai.
Kedua-dua kembar terbabit disahkan autisme, tetapi Azal dikategorikan berada pada tahap sederhana dan mampu menguruskan diri sendiri serta bekerja. – HIBGLAM