“ADA perancangan untuk jumpa keluarga perempuan. Azal kata mungkin tahun hadapan, saya cuma bagi masa.”
Demikian perkongsian pelakon Zarina Zainuddin mengenai anak bujang istimewanya, Azal Azrai yang berhajat menyunting wanita asal Indonesia sebagai Rahmah sebagai suri hidup.
Memahami keadaan puteranya yang menghidap autisme, dramatis itu bagaimanapun meminta Rahmah tidak terburu-buru menerima Azal atau nama lengkapnya Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan sebagai teman hidup.
“Ada perancangan untuk jumpa keluarga perempuan. Azal kata mungkin tahun hadapan, saya cuma bagi masa.
“Saya mahu Rahmah terima Azal seadanya. Tidak mahu paksa-paksa, kalau tidak suka, tiada masalah.
“Saya boleh jaga anak saya tetapi kalau suka, boleh teruskan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Women Talk, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Zarina sudah mempersiapkan Rahmah cara untuk menjaga anak lelakinya selain memantau setiap tindakan mereka.
“Saya ada cuba ajar Rahmah dengan cara saya dan sepanjang Azal bersama Rahmah, dia sangat ‘gentleman’.
“Cuma sebagai ibu, saya belum bersedia melepaskan dia 100 peratus.
“Saya bagi mereka masa kerana masing-masing akan memulakan kehidupan baru bersama-sama,” kongsinya lagi.
Sebagai persediaan, pelakon drama i-Tanggang itu turut mendapatkan nasihat pakar sebelum memberikan lampu hijau untuk anak bujangnya mendirikan rumah tangga.
“Saya juga sudah merujuk ustaz dan dia kata boleh untuk Azal berkahwin kerana dia dalam kategori budak yang faham.
“Sekarang pun dia bekerja di Singapura dan saya sengaja tinggalkan dia berniaga di sana supaya boleh berdikari,” tuturnya.
Baru-baru ini Zarina mendedahkan Azal dalam fasa mengenali hati budi seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja di Singapura.
Mereka rapat selepas sama-sama terbabit dengan beberapa ekspo perniagaan di republik berkenaan, namun belum ke peringkat lebih serius iaitu perkahwinan.
Selain Azal, Zarina dan suaminya Datuk Seri Dr. Abdul Raihan Wan Jaafar turut dikurniakan Muhammad Razil Azrai yang juga kembar Azal serta Muhammad Naim Azrai dan Muhammad Adam Azrai.
Kedua-dua kembar terbabit disahkan autisme, tetapi Azal dikategorikan berada pada tahap sederhana dan mampu menguruskan diri sendiri serta boleh bekerja seperti biasa. – HIBGLAM