SHAH ALAM – Selepas bertarung selama enam minggu, perjalanan penyanyi Zamani dalam All Star Gegar Vaganza (GV10) akhirnya terkandas selepas diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam.
Menerusi konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Zamani yang menyertai GV10 menerusi kategori ‘hotseat’ mendapat markah terendah iaitu 56.50 peratus selepas mendendangkan lagu Kau Pergi Jua nyanyian asal Adam Ahmad.
“Terima kasih kepada para juri dan semua yang beri sokongan.
“Halalkan sahaja kalau saya ada buat sebarang kesalahan,” kata pemenang tempat ketiga GV musim kelima itu selepas diumumkan tersingkir.
Sementara itu, penyanyi Liza Hanim yang juga naib juara GV musim keempat muncul sebagai peserta yang menduduki tangga teratas selepas meraih markah tertinggi iaitu 76.75 peratus daripada tiga juri tetap.
Tempat kedua pada konsert minggu ini menjadi milik penyanyi yang juara GV musim keenam iaitu Hady Mirza dengan markah 76.50, manakala Azharina meraih 75.25 peratus pula berada di tempat ketiga.
Penyingkiran Zamani sekali gus menyaksikan Naqiu, Nikki Palikat, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz berjaya melangkah ke minggu ketujuh
Tidak ketinggalan, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Aliff Aziz, Tomok turut berjaya ke peringkat seterusnya.
Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah dan Ayai Illusi merupakan peserta terawal yang sudah meninggalkan GV10 pada.
Rancangan popular berkenaan menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Konsert GV10 diacarakan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
GV10 memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.
Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 adalah seramai 16 peserta.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM