Zahirah MacWilson buang foto dengan Gal Gadot demi Palestin

PETALING JAYA – Pernah dikecam akibat memuat naik gambar bersama aktres antarabangsa Gal Gadot yang berdarah Yahudi, pelakon Zahirah MacWilson bertindak memadam foto tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Palestin.

Isteri kepada aktor Aiman Hakim Ridza itu memaklumkan, punca dia mendiamkan diri beberapa hari lalu adalah disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.

From the river to the sea, Palestine will be free. Saya mengelak media sosial sejak minggu lalu untuk berehat dan pulihkan kesihatan, malah saya hanya keluar rumah atas tuntutan kerja.

“Saya membaca dan menyaksikan peristiwa ngeri yang berlaku di Palestin, isu tersebut terlalu menyayat hati.

“Setelah beberapa malam mendengar tragedi itu daripada suami, saya hanya mampu mendoakan ketenangan buat Palestin, cukuplah,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam masa sama, anak kepada pelakon Zainol MacWilson itu turut menyifatkan tindakan Israel sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana sanggup membunuh masyarakat Palestin di Gaza.

“Apa yang berlaku sejak 1948 sehingga kini hanya boleh digambarkan sebagai suatu tindakan yang kejam, tamak dan kempen pembunuhan beramai-ramai.

“Akibat daripada peperangan ini ramai nyawa yang tidak berdosa terkorban. Keluarga berantakan, ibu menangis untuk anak-anak mereka dan anak-anak dikorbankan,” jelasnya lanjut.

Pada Mei lalu, Zahirah dikecam gara-gara merakamkan gambar dengan bintang filem Wonder Woman, Gal Gadot dalam sebuah majlis di New York, Amerika Syarikat (AS).

Peminat berasa kesal memandangkan Gadot adalah selebriti Yahudi yang pernah berkhidmat sebagai Tentera Pertahanan Israel (IDF).

Namun, sejak memuat naik hantaran tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang penjelasan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok