Yuna tawan Sarawak 27 Oktober

TATKALA negara dibanjiri konsert artis seberang, pencinta seni tanah air meraikan berita gembira kepulangan penyanyi terkenal, Yuna yang bakal membuka tirai konsert mega, Yuna Asia Tour di Sarawak pada 27 Oktober ini.

Penganjur, RK LiveAsia dan Icon Entertainment yakin konsert jelajah yang akan berlangsung di bumi kenyalang itu akan menarik ramai penonton termasuk dari negara jiran.

Wakil Icon Entertainment, Iman Tang percaya pemilik nama penuh Yunalis Mat Zara’ai mempunyai pengaruh dan pesona tersendiri selain yakin konsert tersebut bakal mendapat sambutan.

“Dengan imej dan ‘kuasa’ Yuna yang turut mencipta nama di Amerika Syarikat, di mana pun lokasi persembahannya, pasti akan mendapat sambutan luar biasa. Dia ada aura tersendiri.

“Ini Yuna, seperti istimewanya wanita yang berhati besar membawa jauh karya mengembara ke pelbagai pelosok dunia, kami percaya Kuching akan menyaksikan sebuah persembahan spektakular daripadanya,” ujarnya

Penuh dinamik dalam persembahan, bintang berusia 36 tahun itu bakal melantunkan deretan katalog hitsnya rermasuk koleksi lagu berbahasa Inggeris.

Kredibiliti anak jati Kedah itu diperakui ramai, bukan sahaja berjaya menembusi pasaran global menerusi kolaborasi bersama figura tersohor seperti Usher dan Jay Park, karya miliknya turut diterima baik pendengar seluruh dunia.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih  termasuk penghasilan album secara berterusan, kembara seni pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 menerusi Terukir Di Bintang itu semakin bernilai.

Selepas menerbitkan album kelima berjudul Y5, Yuna sedia bertemu peggembar yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier seninya dari zaman MySpace sehingga dipinang maestro muzik David Foster untuk ikut bernaung di bawah Verve Music Group.

Yuna Asia Tour bakal mencipta momen tersendiri buat bintang kesayangan ini dan pencintanya yang menantikan kepulangan beliau ke tanah air.

Sudah semesterinya single terkini, Masih Sunyi akan diperdengarkan bersama rendisi lainnya seperti Hello, Lullabies serta Dan Sebenarnya.

Tiket menonton konsert jelajarah itu sudah mula dijual dan boleh dibeli di laman sesawang Ticket2u.com.my – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok