Usah buka pekung keluarga, teguran Shila Amzah buat Syada

“Biarlah urusan tertentu kekal dalam keluarga sahaja.”

Demikian teguran penyanyi Shila Amzah buat adiknya, Syada Amzah agar tidak terlalu terbuka membuka pekung keluarga di media sosial.

Susulan pendedahan dirinya dihalau dari rumah keluarganya, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah memohon adiknya menyimpan kemas hal membabitkan keluarga tanpa perlu mengejar sensasi dan kemasyhuran.

“Jangan kejar tajuk berita untuk mendapatkan populariti semata-mata,” kongsinya pendek dalam Instagram.

Semalam, bekas peserta Big Stage musim kedua itu menuai tanda tanya ramai apabila memberi gambaran seolah-olah bakal dihalau dari rumah selepas bertanyakan tentang rumah untuk disewa.

Tidak terhenti di situ, Syada turut memuat naik satu lagi hantaran dengan mendakwa individu tidak dikenali datang untuk melihat kediaman yang menjadi tempatnya dan ibu tersayang, Fauziah Sarman berteduh selama ini

Usaha HibGlam mendapatkan kenyataan lanjut daripada Syada masih belum berhasil apabila pengurusnya memaklumkan, penyanyi itu enggan memberikan sebarang komen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok