Ubai dedah Shila Amzah trauma, derita mental, fizikal

 “TAK pernah pegang duit, kad bank dan kad pengenalan (IC) sendiri sehingga berusia 28 tahun.”

Demikian antara pendedahan mengejutkan dibuat suami kepada penyanyi popular Shila Amzah iaitu Ubai MZ berhubung penderitaan ditanggung isteri tersayang yang dikerah bekerja seawal usia 10 tahun.

Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli berkata, bermacam-macam penderitaan mental dan fizikal didepani Shila hanya disebabkan status sebagai anak sulung dalam keluarga.

“Penderaan mental dan fizikal dalam tempoh tiga tahun perkahwinan. Tanggung bekas suami. Bercerai dan trauma.

“Mulakan hidup baharu selepas bercerai dengan menanggung hutang keluarga ratusan ribu ringgit. Hutang berjaya dibayar. Sehingga kini masih tanggung keluarga,” dedah Ubai.

Dalam tulisan panjang lebar yang dimuat naik dalam media sosialnya, Ubai, 25, turut memaklumkan, selama ini Shila sendirian berdepan segala sepak terajang kehidupan yang tiada siapa ambil peduli.

“Dia sendiri. Tiada yang membantu. Baik keluarga mahupun orang lain. Ramai yang cerca dan hina, hanya dia tahu apa yang dilalui sepanjang 33 tahun kehidupannya. Tiada tempat untuk berkongsi, jika dikongsi tiada siapa yang endahkan,” coretnya lagi.

TANGKAP layar coretan Ubai yang mendedahkan keperitanya yang dilalui isteri tercinta, Shila Amzah.

Keringat dan segala penat lelah Shila dikerah tanpa rela demi melunaskan tanggungjawab sebagai anak sulung dan tidak mahu dilabel sebagai anak derhaka. Itu juga dinukilkan Ubai dalam tulilsan sama.

“Setiap bulan pasti ada saja yang perlu dibayar dan ditunaikan. Segala titik peluh, perlu dahulukan keluarganya dahulu.

“Tiada alasan yang boleh diberikan sebab kata orang, ‘itulah tugas seorang anak sulung, jangan jadi anak derhaka’.

“Trauma yang dihadapi, perlu dilupakan dengan cara paksa kerana itu saja pilihan yang ada. Ya, paksa,” dedah Ubai lagi.

Langit tidak selalu cerah buat Shila apabila berdepan dengan pelbagai fasa kehilangan orang tersayang pada saat dirinya cuba mendakap bahagia.

“Dikurniakan rezeki mendapat insan dan keluarga baharu yang mendengar kisah kehidupannya, tetapi nikmat itu hanya sebentar.

“Seminggu sebelum bertunang, kehilangan adik ipar. Beberapa hari sebelum bernikah, kehilangan ibu mentua.

“Saya sangka kehidupan saya sudah cukup mencabar dan penuh dugaan. Ternyata, ada yang lebih besar untuk orang lain. Inilah kisah seorang wanita yang saya kenali,” katanya.

Sejak semalam, dunai hiburan tanah air dikejutkan dengan kisah pergolakan keluarga Shila Amzah yang melibatkan penyanyi lagu Patah Seribu itu dengan dua adiknya, Syafiq dan Syada.

Shila dituduh darah dagingnya sendiri tergilakan harta dan kesenangan hanya kerana bertindak ingin menjual banglo miliknya sekali gus membuatkan ahli keluarga hilang tempat bergantung.

Rentetan itu, adik-beradiknya dikatakan mengugut untuk mendedahkan perangai sebenarnya dalam media sosial kepada umum yang ternyata membuatkan hatinya remuk dan kini seperti tiada tempat bergantung apabila keluarga sendiri berpaling daripadanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok