Tujuh Vibrato Gitar medan eksperimen 7 gitaris

SATU catatan sejarah dalam industri muzik rock tanah air bakal tercipta menjelang 3 November 2023.

Buat julung kalinya, tujuh pemain gitar terkenal negara, berkongsi pentas sekali gus bakal menggegarkan ruang Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan.

Dinamakan sebagai konsert Tujuh Vibrato Gitar, persembahan yang diketuai legenda muzik rock negara, Jo Branko pastinya memberi keterujaan buat penggemar ‘muzik keras’, sekali gus menggembalikan semula memori zaman kegemilangan muzik rock tanah air.

Nama Tujuh Vibrato Gitar sendiri dipilih sebagai simbolik acara konsert menampilkan tujuh gitaris hebat terdiri daripada Jo Branko, Shah Slam, Kidd Search, Man Kidal, Jemboo Def Gab C, Muzza dan Anis Kalisa.

Anis satu-satunya gitaris wanita dalam konsert tersebut.

GITARIS yang terlibat dalam konsert Tujuh Vibrato Gitar ialah (dari kiri), Man Kidal, Shah
Slam, Muzza, Jo Branko, Kidd Search, Anis Kalisa dan Jemboo Def Gab C.

Menurut Jo atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, Tujuh Vibrato Gitar diangkat sebagai nama untuk persembahan tersebut kerana diinspirasikan daripada bahagian akhir petikan gitar yang bergetar.

“Kalau main gitar, bahagian paling menarik adalah pada akhir petikan alat muzik itu yang menghasilkan getaran atau vibrato.

“Memandangkan persembahan ini melibatkan tujuh pemain gitar handalan negara, sebab itu saya namakan konsert ini sebagai Tujuh Vibrato Gitar,” ujar Jo teruja.

Bercakap tentang pemilihan lokasi persembahan di Zepp Kuala Lumpur, Jo Branko berkata, Tujuh Vibrato Gitar boleh dianggap sebagai konsert eksperimen, dalam menentukan sama ada persembahan tersebut berjaya atau tidak.

Sejujurnya, Jo Branko sendiri tidak tahu bagaimana penerimaan penonton terhadap penganjuran Tujuh Vibrato Gitar sehinggalah pada hari kejadian kelak.

“Konsert ini diadakan di Zepp Kuala Lumpur kerana saya sendiri tidak tahu sama ada persembahan ini nanti bakal mendapat sambutan penonton atau tidak.

Berani

“Jadi saya tidak berani untuk buat di tempat yang lebih besar, contohnya seperti di stadium. Lagi pun, kalau buat di stadium memerlukan kos besar.

“Untuk produksi sahaja memakan belanja sehingga RM700,000 hingga RM800,000. Konsert sebegini pertama kali diadakan di Malaysia. Jadi Tujuh Vibrato Gitar ini ibaratnya eksperimen kami untuk melihat sambutan daripada penonton,” jelasnya.

Bercakap lebih lanjut, sewaktu konsert berjalan, ketujuh-tujuh pemain gitar akan bermain serentak mengiringi persembahan yang turut menampilkan vokalis daripada Datuk Hattan, Mus May dan Lan Solo.

“Tujuannya bukan untuk bersaing dan melihat siapa gitaris terbaik. Tetapi kami cuba sampaikan sebuah bentuk persembahan secara harmoni supaya kelebihan ketujuh-tujuh gitaris dapat ditonjolkan.

Dalam konsert Tujuh Vibrato Gitar nanti, sebanyak 22 buah karya akan dipersembahankan menerusi persembahan yang memakan masa selama lebih daripada dua jam.

“Setiap gitaris memiliki aura dan peminat tersendiri. Tapi kami akan beri keseimbangan supaya setiap pemain dapat menonjolkan kelebihan masing-masing.

“Konsert Tujuh Vibrato Gitar bukan sekadar persembahan biasa kerana ini merupakan satu bentuk penghormatan seni permainan gitar yang telah memberi impak dalam industri muzik,” jelasnya.

Konsert yang dibawakan Big Stage Entertainment Channel sebagai penganjur dan Anggerik Event Sdn. Bhd. sebagai penganjur bersama tersebut turut menampilkan pemuzik yang diiringi kumpulan Barbarik iaitu Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainoll (drum).

Menunggu malam konsert pada 3 November nanti, jualan tiket lebih 70 peratus dilihat sebagai satu petunjuk baik dan kelegaan kepada penganjuran konsert Tujuh Vibrato Gitar.

Malah, ramai peminat mereka menjanjikan untuk datang membeli tiket secara ‘walk-in’ pada hari tersebut.

Tiket konsert Tujuh Vibrato Gitar masih boleh dibeli di laman web www.tix-box.com.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok