PELAKON dan model, Nadhir Nasar menyifatkan kelantangan bersuara mengenai isu Palestin merupakan tanggungjawabnya sebagai figura awam.
Pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu juga tidak bimbang jika sikap lantang dalam media sosial bakal menjejaskan kontraknya dengan mana-mana jenama fesyen terkenal antarabangsa.
“Kalau ada pihak rasa takut diboikot oleh mana-mana jenama dari negara Barat, bagi saya itu hanya sementara sebab semua yang kita miliki ini pinjaman sahaja.
“Saya ada platform dan pengaruh dalam media sosial, ini kelebihan yang perlu digunakan sebagai seorang selebriti bagi menyebarkan kesedaran. Jadi, jangan sesekali takut hilang punca rezeki,” katanya kepada HibGlam di majlis sidang media drama My Famous Ex-Boyfriend, hari ini.
Tambah aktor berusia 27 tahun itu, ketegasannya dalam bersolidariti merupakan salah satu cara perjuangan membela mangsa perang di bumi Palestin.
Baginya, bersuara dalam media sosial juga antara dakwah kecil yang mampu dilakukan pada ketika ini sebagai umat Islam
“Apa lagi yang boleh saya buat untuk rakyat Palestin? Kalau nak pergi berperang di sana sekalipun, adakah iman saya sudah cukup kuat untuk bertempur dan menyelamatkan mereka?
“Ini sahaja cara saya untuk tunjukkan sokongan terhadap saudara Islam di sana dan buat apa yang termampu.
“Sekarang, kita perlu pilih pihak mana yang hendak disokong. Kalau sudah pilih sokong pihak mana, kekal sahaja di situ,” tegasnya.
Mengulas tanggapan golongan selebriti hanya menzahirkan sokongan ketika isu sedang hangat diperkatakan, Nadhir berkata terpulang kepada individu itu sendiri untuk melakukannya secara bermusim atau berterusan.
“Tidak kisahlah orang nak cakap selebriti zahirkan sokongan secara bermusim. Buat baik sedikit pun sudah cukup memadai daripada tidak melakukan apa-apa.
“Lebih teruk kalau tidak buat sebarang tindakan langsung,” ujarnya yang bergandingan dengan Qasrina Karim dan Hel Husaini dalam My Famous Ex Boyfriend.
Selain Nadhir, ramai selebriti terkenal tanah air yang lantang mempertahankan Palestin termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, Daiyan Trisha dan Zulin Aziz.
Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang. – HIBGLAM