TATKALA dihimpit pelbagai kontroversi, penyampai radio Hot FM, Fizi Ali sempat menitipkan ucapan istimewa buat isteri tercinta, Siti Zulaikha.
Fizi atau nama lengkapnya Mohd. Hafizudin Alimudin berkata, kehadiran Zulaikha atau dikenali sebagai Tiz mengembalikan senyumannya setelah melalui pelbagai rintangan hidup.
“Selamat hari jadi sayang. Terima kasih untuk semuanya termasuk kebahagiaan yang awak bagi kepada saya dan anak-anak.
“Saya ingat satu janji awak yang akan buat saya tersenyum semula.
“Alhamdulillah, senyuman itu kembali bila awak ada dalam hidup saya,” kongsinya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, jejaka berusia 36 tahun itu memohon maaf tidak mengadakan apa-apa sambutan untuk hari istimewa isterinya selain berjanji akan susah senang bersama-sama.
“Terlampau banyak mahu saya katakan tetapi saya tidak pandai menulis. Cuma satu sahaja, terima kasih menjadi bidadari saya.
“Maaf tiada sambutan apa-apa, sayang awak. Insya-Allah kita akan tempuh semuanya bersama-sama. Saya sayang awak,” ujarnya.
Pada 23 Oktober lalu, Fizi mengejutkan ramai apabila menamatkan zaman duda dengan Zulaikha yang juga rakan kongsi perniagaannya.
Terdahulu, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018 namun berpisah pada 2021.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM