Tercemar fitnah, adik Shila Amzah cari makan di China

TERPAKSA menangguhkan urusan kerja di luar negara gara-gara terpalit isu keluarga, adik lelaki kepada penyanyi Shila Amzah, Amir Shafiq bersyukur selamat tiba di China.

Kata pemilik nama penuh Amir Syafiq Amir Amzah itu, dia sepatutnya berangkat ke repbulik terbabit Khamis lalu atas urusan kerja, namun tidak dapat berbuat demikian kerana terpalit fitnah membabitkan isu rumah.

“Alhamdulillah. Allah masih pinjamkan usia. Syukur. Hari ini (Sabtu) terbang ke China. Terpaksa tangguhkan penerbangan sebelum ini.

“Sepatutnya terbang 19 Oktober lalu tetapi disebabkan fitnah pihak tidak bertanggungjawab, semua kerja tergendala.

“Hari ini Allah bagi jalan untuk terus bekerja, segala dugaan yang berlaku pasti ada hikmahnya,” ujarnya menerusi sebuah hantaran dalam TikTok.

Dalam hantaran sama, jejaka berusia 30 tahun itu secara sinis menzahirkan terima kasih kepada pihak yang telah menabur fitnah terhadap dirinya, ibu mereka Fauziah Sarman, adik bongsu, Syada dan kekasih, Eiza.

Seakan memerli kakaknya, Shafiq sempat menitip pesanan kepada orang ramai agar muhasabah diri selain memohon maaf kepada ibu masing-masing sebelum terlambat.

“Terima kasih kepada semua yang telah fitnah kami. Saya memaafkan anda semua. Semoga Allah buka pintu hati kalian untuk lebih menilai diri sendiri sebelum menilai org lain.

“Apapun, sila cari ibu yang melahirkan anda semua untuk minta maaf dan ampun sebelum terlambat,” tulisnya panjang lebar.

Meskipun lantang bersuara, Shafiq masih mengambil pendekatan untuk menutup ruang komen di TikToknya semenjak dikecam teruk netizen susulan konflik dalaman dengan kakak sulungnya.

Konflik keluarga bermula selepas Syada memuat naik hantaran mencari rumah sewa kerana bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut memperincikan keputusan menjual rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok