Takut, gangguan seksual semakin membimbangkan – Aishwarya Rai

DICOP hodoh, gemuk dan berwajah plastik, bintang Bollywood Aishwarya Rai kini giat memperjuangkan kempen gangguan seksual di tempat awam sebagai tanda prihatin terhadap isu yang menjadi momokan masyarakat.

Pelakon tersebut menyifatkan isu diperjuangkan bersama jenama kosmetik antarabangsa yang diwakilinya itu memerlukan kerjasama ramai kerana kian kronik.

Kata Aishwarya, daripada pengamatan dibuat, bukan hanya wanita menjadi mangsa terhadap gangguan seumpama itu malah lelaki juga berisiko berdepan hal serupa.

“Segala bentuk gangguan perlu diberi perhatian kerana sudah sampai ke tahap membimbangkan selain perlu dihentikan.

“Orang ramai tidak kira jantina perlu berasa selamat dan dilindungi anasir atau aura kurang baik yang membuatkan kita takut dengan gangguan sebegini,” katanya ketika hadir pada pelancaran kempen Street Harassment, malam semalam.

Menurut Aishwarya, peringatan serta didikan menerusi kempen anjuran jenama diwakili mampu menyuntik keprihatinan masyarakat supaya sama-sama menyebarkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan semua individu.

Pada masa sama, Miss World 1994 yang baharu tiba di Mumbai, India dari Perancis usai menghadiri acara Minggu Fesyen Paris itu bertegas mahu mengubah mentaliti kaki buli.

Pada acara yang dihadiri ramai selebriti antarabangsa di Perancis hujung minggu lalu, isteri kepada Abhishek Bachchan itu berdepan kutukan netizen gara-gara wajahnya kelihatan sembab.

Wanita berusia 50 tahun itu didakwa melakukan suntikan botox pada pipi dan dagunya supaya tampak lebih muda ketika berjalan menggayakan persalinan rona emas di acara minggu fesyen itu.

Penampilan bintang filem Devdas itu terus dijadikan ‘troll’ dan tular dalam pelbagai platform media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok