Tak tersinggung, Azmi Saat maafkan Jihan Muse

MESKI tidak tersinggung nama bapa ‘dibahan’, penyanyi Azmi Saat sudah menjangkakan gurauan pengacara Jihan Muse ketika mengendalikan program All Stars Gegar Vaganza (GV10) Ahad lalu mencetuskan kemarahan penonton.

Kata vokalis Caliph Buskers itu, nama ibu bapa tidak wajah dijadikan konten lawak dalam acara langsung bagi mengelak salah faham selain menjaga sensitiviti masyarakat.

“Saya berada di belakang pentas ketika Jihan berseloroh mengenai bapa saya dan dapat menjangkakan akibatnya kerana sebelum ini pun pernah berlaku kekecohan disebabkan nama tersebut.

“Secara peribadi saya tak tersinggung pun sebab sudah biasa dengan usikan Jihan dan Nabil Ahmad, cuma kali ini berbeza apabila lawak berkenaan berlaku di GV10 yang disiarkan secara langsung.

“Bukankan nama orang tua kita satu kebanggaan buat setiap anak, malah sejak dulu gurauan sebegini sensitif dalam masyarakat. Jadi, sudah tentu orang ramai terasa hati,” katanya kepada HibGlam.

Pada masa sama, Nabil turut didakwa melontarkan gurauan yang disifatkan khalayak sebagai melampau seolah-olah mempersendakan kemampuan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menyentuh hal tersebut, Azmi yang juga individu cacat penglihatan menganggap hos terbabit hanya terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya disebut di depan umum.

“Macam dengan Jihan, saya juga sudah biasa dengan Nabil, gurauan begitu dengan orang yang kita kenal tiada masalah, cuma bila sentuh pasal OKU dalam acara sebesar GV10, mestilah ada pihak tersinggung.

“Saya tak nafikan penerimaan orang ramai berbeza kerana mereka tak suka OKU dipermainkan, selain kurang selesa kecacatan dijadikan modal gurauan,” katanya.

Menurut Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Mohd, 36, dia sudah memafkan Jihan yang menghubunginya usai konsert minggu keempat GV10.

Pada Ahad lalu Azmi tampil sebagai rakan duet penyanyi Azharina menerusi lagu Pupus, namun sebelum itu Jihan dan Nabil menyebut berapa Saat diperlukan untuk satu minit.

Mereka juga bertanya sama ada Azmi datang ke program tersebut dengan memandu kereta yang menggandakan lagi rasa mual penonton disajikan gurauan sebegitu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok