Tak hirau dikecam, Gal Gadot sokong Israel

TINDAKAN aktres terkenal, Gal Gadot menyeru orang ramai supaya menyokong tentera Israel selepas tercetus peperangan antara rejim Zionis itu dengan Palastin mengundang amarah pengikutnya dalam Instagram.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Gadot dalam Instagram miliknya, pelakon berdarah Yahudi itu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap tentera Israel dan menyeru orang ramai supaya turut serta berpihak rejim dibawah pemerintahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu itu.

“Saya menyokong bersama Israel dan anda juga harus begitu,” katanya.

Tindakan pelakon berusia 38 tahun itu mengajak orang ramai untuk sama-sama memberikan sokongan terhadap Israel telah menyebabkan pengikutnya menyelar tindakan tersebut.

Rata-rata netizen menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana pelakon filem Wonder Woman itu seolah-olah tidak mempedulikan kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin sebelum ini.

“Saya selamanya akan menyokong Palestin,” kata seorang pengikutnya.

“Israel diserang selepas merampas tanah dan negara Palestin. Namun tiada yang ambil peduli,” ujar seorang netizen.

Sebahagian netizen lagi hanya meninggalkan komen berupa emoji tentera Palestin sebagai tanda sokongan terhadap negara tersebut.

Dalam hantaran berbeza, Gadot seakan-akan tidak peduli selepas dikecam apabila melancarkan kempen untuk mengutip derma ke atas Israel selepas diserang bertubi-tubi oleh pejuang Hamas sehingga negara tersebut mengalami kerosakan teruk, manakala beratus-ratus warga Yahudi terbunuh.

“Sesiapa yang mahu menderma, boleh berbuat demikian. Ramai kehidupan penduduk Israel berubah semalam. Mereka kehilangan tempat tinggal dan memerlukan pertolongan,” ujarnya.

Kelmarin, pejuang Hamas telah melancarkan serangan mengejut ke atas Selatan Israel sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 700 orang termasuk askar Zionis terbunuh.

Sementara itu di Gaza, media melaporkan sekurang-kurangnya 413 orang terbunuh selepas wilayah itu dihujani serangan udara oleh tentera Zionis.

Rejim Zionis berkata, lebih 100 rakyatnya dipercayai dijadikan tebusan oleh kumpulan Hamas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok