DIDAKWA intim dengan aktres Sharifah Rose, pelakon Ezzrin Loy kesal apabila ada individu merakam dan menyebarkan video mereka menuruni eskalator dalam media sosial.
Kata Ezzrin atau nama lengkap Ahmad Ezzrin Loy Ahmad Sabri, 26, tindakan pihak terbabit bukan hanya mengganggu privasi, malah boleh mencetuskan prasangka ramai.
“Sebenarnya ketika itu kami baru selesai makan tengahari bersama beberapa kawan lain selepas pulang bermain golf.
“Setakat makan sahaja, jadi saya kurang selesa apabila video kami diambil secara sembunyi dan kemudian ditularkan.
“Ini membabitkan privasi kerana banyak lagi isu lain lebih penting berbanding cerita saya dengan
Rose turun eskalator,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Unifi TV Original, baru-baru ini.
Pada masa sama, adik kepada pelakon Elfira Loy itu mengakui mengenali aktres berusia 24 tahun itu sejak zaman belajar, namun semakin rapat selepas Sharifah Rose menceburi dunia lakonan dan sama-sama membintangi drama Ku Punya Hati.
Dedah Ezzrin, sikapnya yang introvert menyukarnya dirinya rapat dengan seseorang namun bersama bintang Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu situasi sangat berbeza sehingga mereka serasi melakukan pelbagai aktiviti luar termasuk berkhemah dan bermain golf.
“Kami sekepala tetapi mana-mana aktiviti pun selalu dengan kawan-kawan sebab kami dalam lingkungan kumpulan rakan yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai persahabatan mereka, Ezzrin mengakui perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada wanita itu sebelum memberikan sebarang kenyataan.
Katanya, dia menghormati serta lebih selesa menjaga perasaan keluarga temannya, apatah lagi isu dibangkitkan membabitkan hal peribadi.
“Sebenarnya kami kenal sejak zaman sekolah dan apabila sama-sama terbabit dalam kerjaya lakonan, persahabatan kami bertambah rapat.
“Cuma, saya tak boleh cakap lebih-lebih, kalau nak keluarkan kenyataan saya kenalah dapat izin Rose serta ibu bapanya,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu timbul desas-desus keintiman kedua-dua selebriti muda itu, malah rata-rata peminat berpendapat mereka pasangan secocok.
Pada masa sama, Sharifah Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira pernah membuatkan pengakuan sedang mengenali hati budi seseorang yang juga ahli perniagaan. – HIBGLAM