Tak ambil tahu, Ira isteri tidak berdaftar – Patimah Ismail

“Saya tidak ambil tahu. Apa yang saya tahu menantu saya adalah Puteri Sarah Liyana walaupun dia telah berpisah (bercerai) dengan anak saya, Syamsul.

Demikian kata ibu kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail yang enggan memberikan komen tentang desas-desus perceraian anaknya bersama isteri, Ira Kazar seperti yang hangat diperkatakan sejak semalam.

Malah, Patimah juga tidak mahu mengambil tahu tentang khabar angin tersebut kerana menganggap Ira sebagai ‘isteri tidak berdaftar’ dalam keluarganya.

“Apa yang berlaku pada masa akan datang, saya tidak tahu. Bagi saya dia (Ira Kazar) adalah isteri tidak berdaftar. Jadi saya tidak mahu komen apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, Patimah juga tidak mahu memanjangkan kenyataan oleh suaminya iaitu pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam apabila mendedahkan Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah untuk bertemu mereka.

“Apa yang suami saya cakap itu betul. Tapi saya tidak mahu ungkit lagi. Saya tidak mahu merosakkan nama anak saya,” ujarnya.

Khabar angin tentang perceraian Syamsul, 39, bersama Ira atau nama lengkapnya Faghirah Fatini Kazaruddin bertiup kencang selepas sebuah portal melaporkan perkahwinan bekas madu kepada pelakon, Puteri Sarah Liyana itu telah berakhir selepas diceraikan suaminya melalui aplikasi WhatsApp.

Bukan itu sahaja, laporan itu turut menyebut bahawa anak kepada pelakon, Kazar Saisi itu juga telah dihalau keluar dari rumah mereka.

Yusof Haslam ketika dihubungi HibGlam semalam turut terkejut dengan gosip tersebut dan memberitahu tidak tahu-menahu sama ada berita itu benar atau sekadar khabar angin.

Malah, peguam yang pernah mewakili Syamsul ketika proses perceraiannya dengan Sarah, Azmi Mohd. Rais ketika dihubungi juga tidak tahu tentang khabar angin tersebut dan enggan memberikan sebarang komen.

Untuk rekod, Ira sah bergelar isteri kepada Syamsul pada 5 Januari lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Thailand.

Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada bulan yang sama.

Rentetan daripada itu, Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok