Syukur sekolah, anak-anak saya di Gaza selamat – Siti Nurhaliza

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur apabila sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang menjadi tempat sebilangan rakyat Palestin berlindung terselamat dalam bedilan bom, baru-baru ini.

Katanya, setiap hari dia berdoa sekolah yang dibina di bawah Yayasan Nurjiwa itu terhindar daripada kemusnahan dilakukan rejim Zionis, apatah lagi selepas pihaknya terputus hubungan dengan kakitangan sekolah berikutan bedilan bom di kawasan tersebut sejak seminggu lalu.

Alhamdulillah sekolah saya masih selamat lagi. Sekarang, sekolah ini menjadi penempatan mereka yang tiada tempat tinggal di kawasan berhampiran.

“Saya berdoa dalam setiap solat semoga sekolah, anak-anak saya tidak dibom dan berdoa peperangan ini dihentikan sebab kita semua merasai apa rakyat Palestin rasa,” katanya.

Menerusi perkongsian dalam Instagram, penyanyi lagu Purnama Merindu itu turut meluahkan rasa lega apabila sahabatnya, Dr. Mohanad yang membantu menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk setempat menerusi sekolah itu juga telah menghubunginya selepas beberapa hari terputus hubungan.

Siti, 44, yang berkongsi perbualannya dengan aktivitis dan sukarelawan itu turut meminta orang ramai terus mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

TANGKAP layar perbualan dengan Dr. Mohanad yang dikongsi Datuk Siti Nurhaliza dalam Instagram miliknya.

Sebelum ini, Siti yang lantang menyokong Palestin menzahirkan kebimbangan apabila Kem Al-Shati di bahagian barat Gaza yang terletak berhampiran sekolah Afwa Al Aafiyah dibedil bom dalam serangan terbaharu Israel.

Di sekitar sinilah tempat Afwa Al Aafiyah dan pasukan saya tinggal, Allah selamatkanlah mereka.

“Saya masih tak dapat maklumat tentang keadaan mereka dan Dr. Mohanad di sana.

“Kawasan mereka dibom bertalu-talu,” katanya dalam perkongsian Instagram Storynya, Jumaat lalu.

Penyanyi itu berharap sekolah bersempena nama anak-anaknya tidak dibedil bom rejim Zionis, selain semua 50 murid yang juga anak angkatnya bersama petugas terselamat.

Semoga ada berita dan keajaiban. Insya-Allah,” katanya.

Minggu lalu tentera Israel ‘meluaskan’ pencerobohan di Semenanjung Gaza ketika sistem komunikasi dan internet di wilayah Palestin terputus.

Pengumuman itu dibuat ketika tentera Israel memperhebatkan kempen pengeboman untuk memusnahkan infrastruktur yang digunakan pejuang Palestin termasuk Hamas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok