Suami datang, Adira, Emma juarai minggu ketiga FD3

SHAH ALAM – Pasangan duo adik-beradik Adira Suhaimi dan Emma dipilih sebagai juara minggu ketiga Famili Duo musim tiga (FD3) yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, di sini, malam ini.

Adira dan Emma memberikan persembahan bertenaga ketika membawakan lagu Tiada Tangis Lagi nyanyian asal Ella serta Hukum Karma (Wings) secara medley.

Sebagai juara mingguan bagi persembahan bertemakan rock, Adira membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Mas Idayu dan Ajai menyifatkan pasangan terbabit bijak menggunakan konsep penceritaan kejiranan yang diadun bersama pilihan lagu bersesuaian.

Mereka menduduki tempat pertama dengan markah keseluruhan 62.9 peratus meninggalkan jauh lima lagi pasangan duo lain.

Selaku juara, Adira dan Emma juga diberi kelebihan memilih tema untuk konsert minggu keempat iaitu dangdut Hindustan.

Manisnya kemenangan malam ini, persembahan Adira turut disaksikan suami tercinta, Datuk Red di studio.

Selain Adira dan Emma FD3 membariskan Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (Duo Sepupu); Tom dan Fuad Rahman (Duo Suami Isteri); Ryan Bakery dan Adam
(Duo Adik Beradik) serta Amzah dan Syahir (Duo Adik Beradik).

Program lapan episod itu memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian di Tonton membabitkan 30 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok