Solidariti Palestin, Haqiem Rusli, Ariff Bahran bikin penonton FD3 menangis 

MEMBAWAKAN lagu medley Earth Song dan We Will Not Go Down pada minggu kedua program Famili Duo musim ketiga (FD3), pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran mengetengahkan konsep solidariti perjuangan menentang kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Persembahan menyentuh hati tersebut turut membuat pengacara, Janna Nick menitiskan air mata mengenangkan nasib saudara sesama Islam yang terkorban di Gaza.

“Saya sebak menonton persembahan yang cukup menyentuh hati ini,” katanya usai persembahan Haqiem dan Ariff.

Menerusi persembahan itu, Haqiem dan Ariff menggayakan pakaian bertemakan warna bendera Palestin.

Malah, mereka turut menjayakan sketsa situasi yang berlaku di bumi Gaza.

Lebih menyentuh perasaan apabila dua penyanyi terbabit menggunakan latar belakang video klip keadaan rakyat Palestin sekali gus meruntun hati penonton di Studio NTV7, malam ini.

Selain Haqiem dan Ariff, pertandingan nyanyian membabitkan selebriti yang mempunyai pertalian saudara itu turut disertai lima lagi pasangan.

Mereka adalah Shila dan Syahir, manakala pasangan adik beradik lain Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi serta pensohor media sosial, Ryan Bakery dan Adam Bakery.

Selain itu, pertandingan itu turut disertai Syaiful dan Sharif sert pasangan suami isteri, Fuad Rahman dan Tom.

Program yang berlangsung selama lapan minggu itu bakal menyaksikan juara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Pemenang mingguan dipilih berdasarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian melalui Tonton pula 30 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok