Siti Saleha bukan pentaksub media sosial

BAKAL muncul dengan drama terbaharu Prime Video Malaysia, That Cover Girl, aktres jelita Siti Saleha berkongsi tanggjungjawab yang digalas sebagai pemain watak utama.

Katanya yang mesra membahasakan diri Sally, watak lakonannya, Sofi sangat berbeza dengan keperibadian sebenarnya.

“Sofi merupakan seorang usahawan yang sangat berjaya dan dia sangat bergantung kepada media sosial.

“Media sosial memang penting tapi kena berjaga-jagalah sebab macam saya cakap, saya bukan Sofi dan tidak ‘daring’ seperti dia.

“Sofi sejenis yang main muat naik apa sahaja dalam media sosial dan fikir akibatnya kemudian hari,” katanya.

Jelas wanita kelahiran Basildon, England itu, kalau dalam kehidupan realiti, ada banyak fasa perlu dilaluinya sebelum sesebuah hantaran itu dikongsikan kepada khalayak.

“Kalau saya nak muat naik sesuatu dalam media sosial, saya akan tanya orang dahulu. Saya akan fikir dua tiga kali.

“Ada orang yang mahu relevan dalam industri menjadikan media sosial sebagai sebahagian daripada kehidupan tetapi saya tidak suka menggunakan publisiti murahan. Itu bukan cara saya.

“Kalau guna sedikit publisiti itupun janganlah secara berlebih-lebihan. Sikit bolehlah,” jelasnya seraya berseloroh.

Tambah pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd. Baharum itu, di setiap inci pelosok dunia sekarang sememangnya memerlukan media sosial untuk suara didengari, menjual produk dan sebagainya.

“Inilah realiti dunia sekarang. Dunia digital di mana semua orang ada akaun media sosial.

“Walaupun sekarang dengan isu semasa dan sebagainya, saya tidak mahu jadi sebahagian daripadanya. Sebetulnya, kita tak boleh lari daripada semua ini.

“Apatah lagi, kalau kita orang yang dikenali. Kita ada tanggungjawab masing-masing. Macam saya sebagai seorang pelakon yang kadang-kadang mewakili jenama yang ingin promosikan sesuatu, nak tak nak, memang kena berada dalam dunia ini (media sosial),” ulasnya.

Memberi analogi, sekiranya dia menghilang dalam tempoh tertentu dalam media sosial, pasti ramai akan ‘berbunyi’ berteka-teki atau berspekulasi tentang punca tindakan sedemikian.

“Saya hilang seminggu daripada media sosial peminat dah tanya macam-macam. Saya macam, ‘rileks saya okey’. Tapi saya faham orang ramai prihatin sebab kita orang dikenali.

“Kalau nak kongsi perihal kerja, saya tiada masalah tapi kalau setiap benda nak ‘post’ dalam media sosial atau bangkitkan isu sensasi, itu bukan saya. Sangat berbeza dengan Sofi. Masak sarapan dengan suami pun, semua benda dia tunjuk di medsos. I’m not like that (saya bukan begitu).

“Kalau mood saya ‘off’, saya memang takkan ada dalam media sosial sebab saya tak boleh menipu,” jelasnya.

Naskhah That Cover Girl yang dibarisi pelakon hebat seperti Hisyam sebagai Arif, Aiman Hakim Ridza (Darius) dan Alicia Amin (Laila) kini boleh ditonton menerusi penstriman over the top (OTT), Prime Video Malaysia. –

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok