Siapa serius mahu kucing, mesej saya – Syada Amzah

KONFLIK penjualan rumah milik penyanyi Shila Amzah yang meleret kepada pendedahan jumlah kucing di kediaman itu bakal diselesaikan dalam masa terdekat.

Ini kerana adik bongsu Shila, Syada Amzah menyatakan keluarganya kini dalam proses berpindah ke tempat tinggal baharu yang memerlukan mereka menyerahkan haiwan kesayangan kepada pencinta kucing.

Menurut bekas peserta Big Stage musim dua itu, hanya mereka yang serius mahu mengambil serta memelihara kucing dengan baik sahaja akan dipertimbangkan untuk menjadi penjaga baharu.

“Adopsi kucing dibuka sehingga hujung November depan kerana kami masih sibuk berpindah sejak beberapa minggu lalu.

“Sesiapa yang serius nak menjaga (kucing) boleh terus mesej saya,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Begitupun, Syada atau nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah, 25, menafikan jumlah kucing di kediaman di Hulu Langat 50 ekor seperti dihebohkan kakak sulungnya.

“Penafian: Saya tiada 50 kucing,” tulisnya di ruangan bahagian bawah gambar dalam perkongsian sama.

Sebelum itu Syada dalam hantaran lain lebih dahulu menarik perhatian ramai apabila memaklumkan urusan penyerahan kucing hanya dapat dilakukan selepas proses pengubahsuaian disempurnakan.

“Sesiapa mencari kucing untuk diadopsi dan jadi peneman kucing awak, yang tak kisah warna atau umur boleh mesej saya.

“Insya-Allah hujung November atau awal Disember selepas siap renovasi,” tulisnya.

Sebelum ini Shila, 33, yang juga puteri pertama daripada empat bersaudara meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui rumah banglo didiami ibunya, Fauziah Sarman bersama adik-beradiknya yang lain turut dihuni 50 ekor kucing.

Malah, penyanyi lagu Patah Seribu yang sebelum ini mahu membeli kediaman lain buat keluarganya mendakwa haiwan peliharaan tersebut semakin bertambah berikutan  individu yang bukan ahli keluarga membawa pulang 10 ekor lagi. – HibGlam

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok