Shila, kau tanggunglah dosa, mak tak maafkan

 

BUAT masa ini mak belum dapat maafkan dan mak tak reda dengan apa yang Shila buat. Berhenti menipu!”.

Demikian luahan ibu kepada penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman yang terkilan dengan situasi menimpa keluarganya gara-gara dakwaan anak sulungnya itu.

Sehubungan itu, dia menegaskan belum bersedia untuk memaafkan perbuatan Shila yang disifatkan cuba menutup kebenaran.

Menerusi hantaran Instagram, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa berlaku penipuan mengenai isu rumah serta hal lain yang disebarkan darah dagingnya sendiri sehingga membuatkannya berdepan kecaman masyarakat.

Keadaan ini didakwa berpunca susulan kenyataan terbuka penyanyi tersebut ketika membalas luahan dua adiknya, Amir Syafiq dan Syada.

“Terima kasih Nurshahila kerana beri ruang untuk orang hina dan keji mak sendiri dalam video ‘live’, Allah tahu apa kebenarannya,” katanya secara sinis.

Menerusi perkongsian sama, ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu turut meminta Shila menanggung dosa atas semua perbuatan yang dilakukan.

“Ya Allah. Ampunkanlah segala dosa-dosaku, hanya Engkau yang Maha tahu. Ku serahkan segalanya kepada-Mu kerana sesungguhnya aku milik-Mu. Nurshahila, kau tanggunglah dosa.

Pergolakan dalam keluarga penyanyi itu bermula selepas adik bongsunya, Syada membuat luahan mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang duduki bersama ibu mereka.

Shila membuat balasan dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak umur 10 tahun selain tidak memegang kad bank serta pengenalan diri sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun lagu Patah Seribu itu turut memperincikan mengenai isu menjual rumah pusaka serta sikap Syafiq dan Syada yang menghangatkan lagi konflik terbuka keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok