Shila Amzah tak peduli urusan keluarga pindah rumah 

“KALI ini saya tidak uruskan (perpindahan keluarga), mereka pilih sendiri.”

Demikian respons penyanyi Shila Amzah yang berdiam diri dan sekadar melihat dari jauh sahaja urusan perpindahan keluarga daripada banglo miliknya di Hulu Langat, Selangor.

Ujar Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 33, dia memilih untuk tidak masuk campur dalam urusan tersebut selepas berlaku perbalahan dan tuduh menuduh antara dirinya dengan adik beradik lain disebabkan rumah tersebut.

“Saya tidak uruskan kerana masalah ini sudah terlalu besar. Jadi saya ambil langkah untuk mendiamkan diri sahaja.

“Saya lepas tangan. Kalau ada masalah dan mereka minta tolong, tengoklah macam mana nanti,” ujarnya sewaktu menjawab soalan pengikutnya dalam Instagram.

Difahamkan, keluarganya juga telah mencari kediaman baharu tanpa pengetahuan dirinya.

Ketika disoal tentang perancangannya untuk menjual rumah banglo miliknya itu, Shila berkata hasrat tersebut masih diteruskan dan hanya menunggu masa kediaman yang pernah meninggalkan banyak kenangan pahit itu dikosongkan.

“Sudah ramai yang tanya untuk beli rumah itu. Tapi biarlah tunggu kosong dahulu. Sekarang masih ada penghuni dalam rumah tersebut.

“Selepas kosong nanti, barulah senang orang nak datang tengok. Tapi setahu saya, mereka sudah tidak lagi duduk di situ. Cuma saya belum tahu mereka sudah pindah secara rasmi atau belum,” katanya.

Terdahulu, pertikaian antara Shila dengan keluarganya bermula selepas adik perempuannya, Syada Amzahmemuat naik hantaran rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Konflik semakin memuncak apabila Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut memperincikan keputusan rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok