Saya tidak kecil hati dengan usikan kak Lina – Cliff Umar

“JANGAN kecam kak Lina (Elly Mazlein). Dia cuma bergurau, kerjanya menghiburkan orang.”

Itu kata bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10), Cliff Umar yang tidak terasa hati dengan usikan Elly Mazlein atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom ketika konsert minggu pertama apabila seolah-olah membandingkan dirinya dengan peserta lelaki lain.

Cliff Umar atau nama lengkapnya Umar Joseph Abdullah ketika ditemui selepas tersingkir daripada program GV10 malam tadi berkata, dia faham tugas pengacara popular itu adalah untuk menghiburkan penonton dan meminta netizen supaya berhenti menghentam.

“Kak Lina hanya melakukan kerja dia. Bagi saya tidak patut netizen hentam sebab dia cuma mahu menghiburkan orang.

“Saya tidak terasa hati pun dengan gurauannya itu. Lagi pun di Malaysia, netizen memang suka dihiburkan dengan cara begitu. Perkara tersebut tidak menjadi masalah bagi saya. Okey sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 40 tahun itu memberitahu, Elly ada menemuinya di belakang pentas untuk meminta maaf selepas acara selesai.

“Sebenarnya saya tidak dengar pun apa yang dikatakan kak Elly di atas pentas. Masa dia jumpa saya untuk minta maaf, saya rasa ‘blur’ dan tertanya-tanya kenapa dia minta maaf? Apa yang dia dah buat?” ujarnya.

Terdahulu, selepas Cliff Umar selesai membuat persembahannya pada konsert minggu pertama GV10, Elly terlanjur kata apabila enggan ‘melayan’ penyanyi itu seperti mana dia melayan penyanyi lelaki lain kerana statusnya sebagai ‘Cliff Umar’.

Apa yang cuba disampaikan pengacara itu mungkin kerana bekas anggota vokalis kumpulan Projek Pistol itu itu tidak memiliki rupa paras yang tampan seperti mana bintang GV10 lelaki yang lain.

Konsert minggu kedua GV10 malam tadi menyaksikan Cliff Umar dan Suki Low menjadi dua peserta pertama yang tersingkir selepas memperolehi markah terendah iaitu sebanyak 53.25 peratus dan 56.25 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok