Saya tak mahu komen, benda dah tular – M. Nasir

“SEBENARNYA saya tak mahu komen hal ini. Benda (parodi) dah tular pun. Terpulang,”

Itu respons maestro muzik Datuk M. Nasir yang menganggap lirik lagu Nur Nilam Sari tular di TikTok selepas digubah menjadi Pinjam Seratus Nur Nilam bukan satu isu.

Katanya, terpulang kepada pendengar untuk membuat tafsiran sama ada perkara itu wajar atau tidak memandangkan karya tersebut sudah menjadi hak awam.

Pada masa sama, penyanyi dan komposer tersohor itu akur dengan populariti platform TikTok sebagai medium yang menjadi kegilaan ramai masa kini.

Baginya, seperti laman sosial lain tiada energi negatif atau positif dicetuskan TikTok, sebaliknya bergantung kepada pengguna untuk memanfaatkan aplikasi tersebut.

“Bagi  saya TikTok adalah platform paling berpengaruh dan menjadi budaya pada era ini.

“Saya pun tak tahu bila akan basi (TikTok). Cuma setakat ini saya tiada keperluan untuk menggunakannya. Saya ada cara saya (promosi lagu),” ulasnya ketika ditemui HibGlam pada sidang media Gendang Pati Datuk M.Nasir Live in Kuala Lumpur, semalam.

Baru-baru ini lagu Nur Nilam Sari nyanyian asal Datuk Awie bersama kumpulan Search telah diparodikan menjadi Pinjam Seratus Nur Nilam Sari dengan lirik yang merujuk keinginan seseorang meminjam wang.

Lagu ciptaan M.Nasir bersama Allahyarham Loloq itu asalnya dihasilkan untuk anak perempuan komposer terbabit yang juga didedikasikan buat isterinya, Allahyarham Junainah Johari yang meninggal dunia ketika Nur Nilam Sari berusia dua bulan.

Sekali gus, isu parodi naskhah yang diterbitkan pada tahun 1998 itu menjadi polemik dalam media sosial apabila diperdebatkan netizen.

Sementara itu, mengenai konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kata M. Nasir persembahan mega berkonsepkan genderang adalah hasrat yang mahu dikongsi dengan khalayak sejak dulu.

Dijadualkan berlangsung pada 18 November depan, konsert tersebut menurut anak jati Kota Singa itu adalah transisi berkongsi keindahan muzik yang spektakular hasil paduan pelbagai jenis gendang.

“Dianggarkan 20 pemuzik termasuk enam pemain genderang membabitkan beberapa jenis gendang seperti rebana, tabla serta kompang disatukan dalam sebuah persembahan mega.

“Pastinya alunan muzik yang berkumandang sepanjang dua jam persembahan meninggalkan impak padu kepada penonton,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok