Saya dan Shila okey – Syada Amzah

“Ada bertembung Shila dia sebuah acara dan kami saling berpeluk serta bertegur sapa.”

Demikian respons penyanyi, Syada Amzah sekali gus menafikan dakwaan netizen kononnya dia dan kakaknya, Shila Amzah dingin berikutan saling tidak mengikuti Instagram masing-masing.

Menurut Syada atau nama penuhnya Syada atau Nursyuhada Amir Amzah, 25, hubungannya dengan Shila baik namun tidak menafikan perselisihan faham di antara ahli keluarga adalah perkara normal.

“Cakap pasal dingin, saya memang sentiasa perang dingin dengan semua adik-beradik. Saya rasa sebagai manusia biasa, perkara itu normal.

“Ada sahaja bertembung dengan Shila di sebuah acara dan kami saling berpeluk serta bertegur sapa.

“Jangan risau tiada insiden tarik rambut, jadi risaulah pasal keluarga sendiri dulu okey?” katanya dalam InstaStory baru-baru ini.

Menerusi perkongsian sama, dia turut menyelar netizen yang mendakwa hanya memberi sokongan kepada abangnya, Syahir Amzah yang menyertai program Famili Duo bersama Shila.

Jelasnya, sokongan tersebut sebagai suntikan semangat memandangkan Syahir pertama kali menyertai pertandingan nyanyian sebesar itu dalam hidupnya.

“Saya beri semangat untuk abang sebab ini pertandingan nyanyian pertama yang dia sertai tanpa bandnya.

“Jadi, saya hanya menunjukkan sokongan sebagai adik dan ada juga menulis untuk The Amzah.

“Kalau saya dan Shila tidak okey, takkanlah hendak tulis untuk The Amzah. Harap penjelasan ini menjawab semua persoalan,” ujarnya .

Sebelum ini, khabar angin Shila dan Syada saling bermasam muka menjadi bahan bualan ramai apabila dua beradik itu saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Terdahulu, Shila dan adik lelakinya, Syahir bakal bergandingan sebagai duo adik beradik dalam program nyanyian Famili Duo musim ke-3 yang bakal bersiaran secara langsung dari Glenmarie, setiap Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 bermula 15 Oktober ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok