AKTRES sensasi Sophia AlBarakbah menegaskan isteri pelakon lelaki tidak perlu takut sekiranya suami mereka digandingkan bersamanya dalam mana-mana drama mahupun filem.
Kata Sophia, 30, perasaan tersebut tidak sepatutnya wujud kerana dia bukan satu ancaman sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pelakon di set penggambaran.
“Tak perlu rasa ‘insecure’ (tidak selamat) sebab saya hanyalah wanita biasa dan manusia normal.
“Namun, semua itu terpulang kepada pendirian masing-masing, tiada yang perlu diulas lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tegas pelakon filem Miimaland itu, dia tidak pernah mencampuradukkan urusan kerja dan peribadi malah sentiasa bersikap profesional menjayakan apa sahaja watak diberikan.
“Saya memang profesional apabila bekerja, walau apapun terjadi, saya melakonkan watak yang diberikan sahaja.
“Jadi, tak perlu nak rasa takut atau bimbang sebab saya bukan ancaman pun. Pada akhirnya, semuanya mengenai kepercayaan terhadap pasangan masing-masing,” katanya lagi.
Dilihat semakin laris apabila menjadi pilihan penerbit sebagai teraju utama drama dan filem, Sophia melihat perkembangan positif itu sebagai rezeki, bukan kerana kontroversi yang melanda dirinya mutakhir ini.
“Alhamdulillah, saya percaya penerbit dan pengarah mengambil saya berlakon bukan kerana kontroversi semata-mata tetapi disebabkan bakat dan sudah tertulis rezeki saya,” ujar pelakon siri From Saga With Love itu.
Sebelum ini, nama Sophia kerap dikaitkan dengan beberapa pelakon lelaki yang pernah bergandingan dalam drama lakonannya.
Antara yang paling hangat diperkatakan adalah gosip cinta lokasi dengan Aliff Aziz menerusi drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah. – HIBGLAM