Sarah Daewood masih trauma, dirakam ketika mandi

WALAUPUN selepas lima tahun berlalu, pelakon Sarah Daewood mengakui masih trauma dengan kejadian dia dirakam sewaktu mandi oleh seorang krew produksi sewaktu menjalani penggambaran filem Cerana Biduk Bu Merah.

Kata pelakon berusia 31 tahun itu, pelaku bukan sahaja setakat mengintip, malah  sempat merakam lima buah video ketika dia sedang mandi, termasuk beberapa rakaman lain sebelum pelaku ditangkap.

“Selepas telefon bimbitnya dirampas, kami tidak temui sebarang rakaman namun selepas tengok semula (galeri) satu persatu, ada video dirakamkan pada hari lain.

“Ada satu video dirakam menggunakan telefon bimbit yang dimasukkan dalam bekas plastik beras di bilik mandi inap desa tempat saya tinggal sepanjang penggambaran.

“Video keempat pula si pelaku rakam sewaktu saya habis mandi. Sebanyak lima buah video saya mandi dirakam lelaki berkenaan,” katanya menerusi sesi dalam TikTok.

Menurut aktres tersebut, perasaan malu, marah, sakit hati dan sedih berdepan kes gangguan seksual mengakibatnya hampir enggan meneruskan kerja.

“Lepas kejadian pada petang itu saya rasa ‘down’ sampai macam dah tak mahu berlakon dan kebetulan babak saya pula malam.

“Rasa tak nak jumpa orang, sakit hati sangat. Saya masuk bilik dan menangis saja. Malu semua orang tahu.

“Penerbit dan pengarah, Haizul Anafer serta pelakon, Pekin Ibrahim terpaksa datang pujuk dan beri semangat,” katanya.

Katanya yang juga alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dia sudah membuat laporan polis namun enggan video terbabit dipaparkan sebagai bahan bukti yang berpotensi tersebar.

“Pihak berkuasa minta saya tinggalkan telefon bimbit sebagai bahan bukti jika mahu teruskan kes di mahkamah ketika itu.

“Tapi saya pula bimbang jika video dalam telefon bimbit itu tersebar dan akan menjadi isu kerana saya seorang pelakon,” katanya.

Sebelum ini rakan gandingannya, Pekin dalam filem yang ditayangkan pada 12 Oktober lalu mendedahkan membelasah seorang kru produksi kerana melakukan perkara tidak senonoh mengintai aktres muda.

Selain Pekin dan Sarah, filem genre seram itu turut dibintangi Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat dan Pyan Kepoh. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok