“SAYA tidak kisah dikecam namun menjadikan anak saya sebagai bahan ejekan, itu sangat tidak boleh diterima.”
Itu luahan kecewa selebriti popular Hollywood, Paris Hilton apabila netizen tidak berhati perut mengejek dan mentertawakan saiz kepala putera sulungnya, Phoenix.
Berkongsi untaian foto anaknya dalam Instagram, Paris atau nama sebenarnya, Paris Whitney Hilton mengakui sangat berkecil hati dengan tindakan sebilangan peminat.
“Hidup sebagai orang popular, saya tidak kisah dikecam namun menjadikan anak saya sebagai bahan ejekan, itu sangat tidak boleh diterima.
“Segala cemuhan membuatkan hati saya remuk dan tiada perkataan dapat digambarkan berapa sakitnya hati saya,” katanya menerusi satu tulisan panjang lebar dalam aplikasi X.
Menurut pelantun lagu Stars Are Blind itu lagi, dia kadang-kadang tidak mengerti dengan segelintir netizen yang sewenang-wenangnya mengkeji anak kecil yang tidak berdosa.
“Kalau saya tak kongsi gambar anak, orang cakap saya bukan ibu yang baik.
“Kalau saya kongsi gambar kepada umum, akan ada sahaja orang yang memilih untuk menjadi kecam dan pembenci.
“Phoenix adalah dunia saya dan sudah lama saya pasang impian nak jadi seorang ibu tapi apabila ini berlaku, saya sangat kecewa,” katanya lagi.
Terdahulu, Hilton berkongsi gambar-gambar Phoenix yang baru berusia 10 bulan menerusi Instagram namun segelintir pengguna media sosial mentertawakan saiz kepalanya yang dikatakan terlalu besar.
Bahkan, ada yang mendakwa anaknya itu bukan lahir daripada rahim Hilton termasuk menyatakan Phoenix bukanlah seorang bayi yang sihat atau normal hanya kerana saiz kepala yang sedikit besar berbanding fizikal bayi biasa.
Hilton berkahwin dengan usahawan yang juga merupakan seorang penulis, Carter Reum pada 2021. – HIBGLAM