Rosyam Nor jadi bapa, Hariz Hamdan takut!

PELAKON kian menempa nama, Hariz Hamdan mengakui gementar apabila dimaklumkan akan bergandingan dengan aktor hebat, Datuk Rosyam Nor dalam siri premium Astro Originals berjudul Xchange.

Hariz, 21, yang pada mulanya bimbang lakonannya tidak setaraf dengan Rosyam Nor berasa lega apabila penyiar (Astro) menyediakan kelas lakonan bersama pelakon Farah Ahmad dan kelas aksi selama sebulan sebelum penggambaran bermula.

“Sepanjang tiga tahun berlakon rasanya inilah projek yang saya banyak lakukan persediaan dan paling takut untuk masuk ke set penggambaran.

“Bila tahu Rosyam Nor akan menjadi bapa saya dalam siri ini, saya memang buat persediaan sebaik mungkin.

“Tambahan pula saya tidak pernah berlakon dalam drama aksi jadi saya berusaha lebih supaya tidak nampak kekok,” kongsi Hariz.

Kebimbangan Hariz yang merupakan bekas peserta Hero Remaja 2020 itu bagaimanapun mereda.

Meskipun Rosyam merupakan seorang pelakon senior yang disegani, tetapi beliau cukup disenangi ramai.

“Mula-mula rasa takut, tetapi apabila saya tetapkan dalam minda abang Rosyam adalah bapa saya, secara automatik kami boleh berbual secara santai.

“Meski nampak garang, abang Rosyam sebenarnya ‘sempoi’ dan sangat mudah didekati. Biasanya pelakon baharu mempunyai masalah untuk bergaul dengan pelakon senior, tetapi tidak dalam set drama Xchange semuanya seperti keluarga,” tutur Hariz.

Kongsi Hariz, cabaran membawakan watak Qabil dalam siri Xchange cukup besar apabila perlu keluar dari zon selesa dan menjadi individu jauh berbeza daripada dirinya.

“Qabil seorang yang panas baran, suka tinggikan suara dan pukul orang, berbeza dengan saya. Tetapi demi menampilkan sisi berbeza dalam lakonan, saya sahut cabaran,” kata Hariz.
Menurut Hariz, demi memberikan lakonan yang terbaik, dia hanya fokus kepada penggambaran drama Xchange sahaja sepanjang tempoh tiga bulan sehingga November ini.
“Saya pernah berlakon tiga drama serentak, tetapi sekarang sudah sampai masanya saya fokus terutama apabila melibatkan filem dan siri premium.

“Saya tidak mahu tamak hingga menjejaskan mutu lakonan. Tambahan pula drama ini menjalani penggambaran di Kuala Kubu Baru dan Sungai Lembing Pahang, memang jauh. Drama itu banyak babak aksi, jadi saya penat untuk berkejar ke set lain,” luah Hariz yang ditemui pada acara Gear Up For Asics Meta: Time: Trial With Hariz Hamdan baru-baru.

Baru tiga tahun bergelar pelakon, Hariz bersyukur mendapat kepercayaan jenama kasut dan pakaian sukan antarabangsa, Asics yang melantiknya sebagai duta rasmi.

“Saya masih terlalu mentah tetapi mendapat kepercayaan jenama besar satu yang saya tidak sangka. Saya tahu bukan mudah,” ujar Hariz yang bakal muncul dengan filem Sahak Gangster dan Banglo Seksyen 12.

Pada acara tersebut Hariz bersama ramai rakan artis seperti Fahrin Ahmad, Trisha Ooi, Esma Daniel, Ikram Juhari, Idzham Ismail, Azim Yusof, Haidar Hasanudin, Amri Aziz, Hanis Nazurul, Syafiq Farhain dan Shaza Bae.

“Saya memang suka berlari, jadi saya fikir apa salahnya buat program larian bersama rakan-rakan artis yang memang suka berlari.

“Syukur ramai rakan artis memberikan sokongan. Selain ke gim saya memang suka dengan sukan larian. Jika tiada aral tahun depan saya akan menyertai larian marathon penuh buat kali pertama di Tokyo, Jepun,” tuturnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok