Prosedur buang rahim lancar, isteri Aril Pilus kini di ICU

“Alhamdulillah, pembedahan telah selesai dan isteri saya ditempatkan di ICU untuk dipantau kondisinya.”

Demikian perkongsian penyanyi Aril Pilus mengenai perkembangan isterinya, Puteri Erma Edlinda yang menjalani pembedahan kecemasan membuang rahim akibat fibroid di Hospital Ampang.

Pemilik nama sebenar Khairil Azam Pilus, 37, itu memaklumkan isterinya mengalami pendarahan selepas melahirkan anak kedua mereka semalam dan terpaksa melakukan prosedur tersebut demi keselamatannya.

“Pendarahan berpunca daripada ketumbuhan melekat pada servik dan rahim. Atas nasihat doktor, isteri saya sekali lagi dimasukkan ke bilik pembedahan untuk menjalani prosedur membuang fibroid dan rahim.

“Syukur, pembedahan sudah pun selesai dan isteri saya kini ditempatkan di ICU untuk pemantauan doktor.

“Setakat ini, keadaan isteri saya stabil walaupun kehilangan banyak darah sewaktu pembedahan,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial semalam.

Menurut bekas pengacara Trek Selebriti itu, terdapat tiga ketulan fibroid yang menjadi punca kepada  pendarahan tersebut.

“Doktor memaklumkan ada tiga ketulan fibroid dan satu daripadanya menganggu proses pengecutan rahim selepas bersalin.

“Sebab itu berlaku pendarahan secara berterusan dan doktor akhirnya membuat keputusan untuk membuang rahim isteri saya,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, Aril tidak ketinggalan menzahirkan rasa gembira dikurniakan seorang lagi putera yang dilahirkan pada pukul 10.20 pagi semalam.

Aril dan Puteri Erma yang mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2013 sebelum ini mempunyai anak lelaki bernama Tun Tun Adriel Mikael, 8. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok