Persona ungkap identiti Yonnyboii

KEMENANGAN Yonny (Deluxe Version) yang diangkat sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 tahun lalu membawa kepada pembikinan album penyanyi terbaharu Yonnyboii, Persona.

Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000 yang diraih hasil kemenangan itu dimanfaatkan untuk merealisasikan naskhah penuh dengan sebaik mungkin daripada kerja rakaman, penerbitan video muzik hingga pemasaran.

Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin mengakui geran diperoleh banyak membantunya dalam pembikinan Persona yang disifatkan sebagai antara karya terbaiknya.

“Album Persona menceritakan bagaimana saya mencari bunyi yang juga identiti sendiri, malah saya turut melalui beberapa persona atau watak untuk mencari identiti ini.

“Jadi album ini menggambarkan persona dalam setiap lagu kerana semua seleksi dalam naskhah berbeza mengikut persona yang pelbagai,” katanya.

Memuatkan 13 lagu, antara seleksi dalam album yang dikeluarkan pada 22 September lalu itu ialah Dilamun, Rollout, Dream, Mana, Flash & Fash, Sengkek, Badboii, Jauh, Baby dan Star.

YONNYBOII gembira dapat melancarkan album PERSONA secara besar-besaran di Putrajaya Challange Park Skatepark pada 7 Oktober lalu. 

Istimewanya Persona membariskan nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk teman baiknya seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King dan Adam E.

Sekali gus, gabungan yang disifatkan sebagai kolaborasi genius itu membawa nilai tambah terhadap keseluruhan album tersebut.

“Mereka memberi sesuatu yang berbeza dan gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang berbakat luar biasa itu,” katanya lagi.

Tidak lengkap tanpa merealisasikan pelancaran album yang istimewa dengan strategi promosi mega, satu majlis khas yang dianjurkan pada 7 Oktober lalu.

“Acara itu dianjurkan 7 Oktober lalu di Putrajaya Challenge Park Skatepark secara besar-besaran dari pukul 4 petang hingga malam.

“Semestinya, majlis itu bakal menjadi sejarah kerana belum ada penyanyi yang menganjurkan pelancaran album di lokasi seperti ini dengan skala gergasi,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan album Persona, Yonnyboii berkata, dia perlu membahagikan masa memandangkan ketika itu isterinya, Nik Nazira Narriman, 23, baharu melahirkan anak sulung mereka.

“Ketika album ini disiapkan, waktu agak suntuk dan isteri hamil serta melahirkan anak yang tentu saja memerlukan komitmen saya sebagai suami serta ayah.

“Demi memastikan kedua-dua tanggungjawab ini selari, saya perlu membahagikan masa buat isteri dan anak selain menyempurnakan proses pembikinan album ini dengan baik,” katanya.

Pada 18 Disember 2020, Yonnyboii melancarkan EP sulung diberikan judul Yonny dengan memuatkan sembilan seleksi lagu termasuk Salahku disusuli satu lagi naskhah Yonny (Deluxe Version) setahun kemudian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok