Penjajahan Zionis akan tamat, Palestin akan merdeka – Mimi Lana

“Ayuh bersatu hati, jangan gentar pertahankan bumi Palestin.”

Itu antara yang disuarakan pelakon, Mimi Lana renteran kekejaman tidak berpenghujung rejim Zionis laknatullah terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Tutur pemilik nama penuh Mimi Rozaiana Zainal Abidi itu, kekejaman yang dilakukan Zionis terhadap Palestin adalah tidak berperikemanusiaan sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

“Setiap orang yang berperikemanusian tiada alasan untuk tidak mengutuk keras segala kekejaman yang zalim berlaku di Palestin sehingga nyawa mereka di sana ibarat langsung tiada nilai dan diperlukan tanpa belas kasihan.

“Kehancuran yang berlaku lebih teruk daripada yang dipaparkan dalam media barat tetapi mereka lupa suara kita akan lebih lantang untuk menyuarakan kebenaran!” katanya dalam Instagram.

Bintang filem Pusaka itu juga memasang harapan tinggi untuk melihat kekejaman Zionis terhadap Palestin berakhir segera sekali gus mencapai kemerdekaan sendiri suatu hari nanti.

“Solidariti dari pelbagai medium di seluruh dunia hari ini hampir mendedahkan segala propaganda kekejaman mereka (Zionis) dan nescaya, era mereka sedang menuju tempoh hayat (luput) tidak lama lagi.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ayuhlah kita bersatu hati, lantang dan jangan gentar untuk terus pertahankan hak bumi Palestin!

“Saya menghitung hari, mengimpikan untuk melihat kemerdekaan di Palestin kerana percaya janji Allah SWT itu benar dan sudah tertulis. Allah sebaik baik perancang,” ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakyat berkumpul di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi membuktikan solidariti negara terhadap rakyat Palestin.

Sejak 7 Oktober lalu, konflik antara Israel dan Palestin telah mengakibatkan lebih 5,000 orang terbunuh di mana 62 peratus ialah kanak-kanak dan wanita.

Lebih 1,000 penduduk Palestin lagi dilaporkan hilang dan mereka dianggap terperangkap atau mati di bawah runtuhan. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok