MUAK melihat drama segelintir pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim menegur individu yang diamanahkan mengendalikan program televisyen agar menunaikan tanggungjawab mereka dengan profesional.
Kata hos berpengalaman itu, fokus utama dalam sesebuah pertandingan adalah peserta dan prestasi mereka, bukan perbalahan atau persaingan sesama pengacara.
“Saya tidak boleh tengok artis bertelagah di atas pentas mahupun di belakang pentas dan jadikan perkara ini sebagai hal peribadi serta mengenai diri mereka sahaja.
“Sekali lagi saya tekankan, mengacara adalah kerja menghibur, bukan saling berdebat dan sentiasa ingin menang.
“Biarkan peserta menyinar di atas pentas sementara kita pula menjadi tulang belakang yang positif buat mereka,” katanya menerusi ciapan di platform X.
Enggan disalah erti, penyanyi Kini Kau Tiada itu menjelaskan tegurannya itu tidak ditujukan kepada individu tertentu.
Malah, Sarimah, 45, juga menegaskan tiada niat menyindir sesiapa, sebaliknya berharap semua pihak memperbaiki kelemahan.
“Tidak. Teguran ini bukan ditujukan kepada orang tertentu secara spesifik, cuma nasihat secara menyeluruh.
“Tapi siapa yang makan cili, tahu-tahulah ya. Kita semua boleh perbaiki kerja kita,” tambahnya dalam ruangan komen.
Melihat kepada status tersebut, seolah-olah dia menyentuh isu yang berlaku antara pengacara pertandingan realiti popular, All Star Gegar Vaganza (GV10).
Semuanya bermula selepas bekas hos program realiti pertandingan penyanyi, Elly Mazlein meluahkan rasa berang terhadap sikap sombong pihak tertentu dalam Instagram Story.
Dalam luahan itu, penyanyi dan pelakon terbabit mendedahkan terpaksa melupakan tanggungjawab kerana ingin memberi laluan kepada seseorang.
Rentetan itu, pemerhati dunia hiburan turut mengaitkannya dengan isu dalaman membabitkan pengacara program popular terbabit. – HIBGLAM