Penat! Tolong gandingkan saya dengan pelakon bujang. – Sophia Albarakbah

AKTRES kontroversi, Sophia Albarakbah mengakui bimbang apabila kerap terpalit kontroversi membabitkan suami orang.

Penat isu sama disensasikan, Sophia, 30,  berharap tidak lagi digandingkan dengan pelakon yang sudah berkahwin sebaliknya lebih selesa sekiranya bekerjasama dengan aktor bujang.

“Kadang-kadang saya tidak buat apa-apa pun, ada sahaja benda terpalit. Lama kelamaan rasa penat.

“Apa-apa pun selepas ini saya akan cuba mengelak. Tolong gandingkan saya dengan pelakon yang tidak berkahwin,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Pendekatan tersebut diambil bagi mengelakkan dirinya dihimpit dengan isu berulang yang pastinya mengganggu kelancaran kembara seninya.

“Sememangnya sesiapa sahaja tidak suka dikaitkan dengan artis sehingga orang cakap buruk. Jadi, mengelak adalah cara saya pertahankan diri.

“Saya tidak mahu orang terus mengata kerana sudah berlaku banyak kali walaupun saya tidak buat apa-apa pun.

“Mencegah lebih baik daripada merawat. Daripada kena kecam lagi, saya rela elak bekerja dengan sesetengah orang,” tuturnya.

Sementara itu, pengurus Sophia, Nik Yasmin mendedahkan aktres terbabit hampir putus asa untuk bekerja dengan pelakon lelaki berstatus suami orang.

“Dia sudah mula minta dengan Kak Min untuk tidak lagi digandingkan dengan pelakon lelaki bergelar suami orang.

“Namun, saya pujuk kembali dengan menyatakan industri ini bukan kita tentukan.

“Saya faham, dia cuma penat kerana asyik terpalit dengan pelbagai kontroversi,” katanya.

Semalam, Sophia menafikan dakwaan hadir ke konsert All Star Gegar Vaganza (GV10) untuk memberikan sokongan kepada Aliff Aziz sebaliknya menegaskan menemani sepupunya, penyanyi Aisha Retno yang membuat persembahan menerusi segmen GV Live +.

Aliff pula ketika ditemui selepas GV10 enggan memberi komen kerana bimbang akan timbul spekulasi tidak sepatutunya walaupun menyedari kehadiran Sophia.

Keadaan semakin panas apabila isteri Aliff, Bella Astillah membidas kenyataan Sophia yang didakwa menipu tentang kehadirannya ke konsert minggu ketiga GV10 pada Ahad lalu.

Terdahulu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa aktres itu menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff sekitar Januari lalu.

Manakala, Sophia pada bulan lalu mengakui putus cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. Doctor. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok