Pegang parang untuk berjaga-jaga – To’ki

DILABEL gengster, kasar dan degil gara-gara isu rumah sewa, namun penyanyi popular era 1990-an To’ki enggan melatah berdepan pelbagai tuduhan liar.

Katanya, tindakan dilakukan adalah demi mempertahankan keluarga terutama ibu mentuanya yang terlantar akibat masalah kaki selepas berulang kali cuba dihalau dari kediaman diduduki.

Begitupun, tahap kesabarannya diakui semakin tipis apabila beberapa minggu lalu tuan rumah muncul bersama enam lelaki sekitar tengah malam hingga memaksanya mengeluarkan parang untuk melindungi keluarga.

Ketika itu ada enam lelaki datang, takkan saya nak biar mereka apa-apakan kami terutama ibu mentua saya yang ketika itu terbaring depan pintu akibat masalah pergerakan.

“Sebagai lelaki, dayuslah saya kalau biarkan mereka apa-apakan keluarga saya atau halau kami begitu sahaja sedangkan saya dah minta tempoh.

“Saya cuma pegang saja (parang) untuk berjaga-jaga kerana tak tahu motif mereka datang beramai-ramai. Itu saja,” katanya ketika ditemui HibGlam, semalam.

Pemilik nama sebenar Mohd. Zaki Mansur, 57, itu mengakui terpalit dengan kontroversi yang masih hangat diperkatakan hingga dicop sebagai gengster.

Begitupun, penyanyi lagu Biasan itu tidak kisah dilabel sedemikian kerana memahami bukan semua orang mengenali keperibadiannya secara dekat.

Mereka yang kenal saya tahu saya macam mana. Kalau dulu waktu muda saya lantang, tapi sekarang
kita dah makin berusia, malas nak gaduh jadi saya bagi peluang pihak sana saja bercakap. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok