MESKI diulit rasa gemuruh, Datuk M. Nasir kini rancak melakukan persediaan merealisasikan persembahan mega berkonsepkan bunyian genderang seperti yang diimpikan di ibu negara pada 18 November depan.
Menurut maestro muzik kelahiran Temasik, Singapura itu, sudah lama beliau mengimpikan sebuah konsert mahupun album diiringi paluan pelbagai jenis bunyian gendang tetapi rencana sering tergendala atau terhambat idea lain.
“Idea mengadakan konsert yang memberikan tumpuan pada bunyi dan gendang lahir secara spontan pada sesi latihan bersama pemuzik, ditambah pula dengan keinginan mengadakan konsert diiringi instrumen gendang.
“Setiap kali buat album baharu, mood menyelitkan idea gendang mesti ada, tetapi tak pernah diteruskan, jadi saya dan pasukan cuba bawakan kelainan.
“Kami tak sangka peminat suka ketika berpeluang mengadakan konsert di Singapura pada Julai lalu seterusnya membawa konsert ini di Malaysia, bulan depan,” katanya
Paling M. Nasir terharu adalah apabila penonton di tanah kelahirannya tampak menikmati dan menerima penambahan suntikan elemen gendang sebagai latar persembahannya.
Tambah lelaki berusia 66 tahun itu, konsert berkenaan boleh disifatkan sebagai sebagai medan perpaduan kerana penggunaan pelbagai jenis instrumen dari latar budaya dan kaum.
“Cukup mengagumkan, peminat sangat sukakan dikir barat, walaupun tak faham apa yang didendangkan dalam dialek Kelantan.
“Menerusi keseronokan dinikmati peminat Singapura itu, saya yakin peminat Malaysia sependapat dengan saya yang kental berjiwa rakyat kerana gendang adalah alat muzik yang dimiliki semua kaum,” katanya.
Enggan mendedahkan repertoire persembahan untuk Konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur yang bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, suami kepada Marlia Musa itu hanya berkongsi bakal mendendangkan lebih 20 lagu dengan diiringi gendang ibu, anak, rebana, kompang, meruas dan tabla.
Menyerahkan tanggungjawab olahan muzik kepada Nan Alias, katanya walaupun konsert berkenaan kedengaran seperti konsert nusantara tetapi dasarnya masih dalam persembahan moden.
Konsert Gendang Pati yang dibawakan MND Sport & Event itu menampilkan 16 pemuzik handalan seperti Rafi Mohd di posisi gitar, Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram).
Gabungan nama-nama tidak asing itu diperkuat dengan kehadiran Paang, Mat Din, Che Long dan Anas yang dibantu Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM