VOKALIS Noah, Ariel menjelaskan keputusan untuk tidak mengadakan sebarang persembahan pada 2024 bagi memberi ruang kepada semua anggota band itu untuk berehat selepas terikat dengan jadual yang padat sepanjang tahun ini.
Menurutnya, bermula pada awal tahun ini, Noah tidak berhenti membuat persembahan dan menerima pelbagai undangan termasuk di festival muzik mahupun konsert solo di beberapa lokasi.
“Betul, kami akan bercuti panjang kerana kami penat.
“Konsert terakhir kami pada Disember tahun ini kerana masih terikat kontrak. Bermula Januari tahun hadapan, kami tidak akan mengadakan persembahan lagi,” katanya.
Keputusan berkenaan turut disokong pemain keyboard kumpulan itu, David, yang merasakan fasa berehat sangat penting bagi membolehkan setiap ahli tampil lebih kreatif pada masa akan datang.
“Memang tahun ini jadual kami sangat padat. Jadi kami akan bercuti untuk menyegarkan kembali fikiran kami,” jelasnya.
Menurut Ariel lagi, kerana kesibukan menghadiri undangan persembahan, penyanyi Separuh Aku itu mengakui ada banyak projek dan perancangan yang terpaksa mereka lepaskan.
“Banyak perkara yang sudah kami rancang untuk band ini tapi belum terlaksana kerana memberi fokus kepada persembahan,” tambahnya.
Namun begitu, kumpulan tersebut tidak mengumumkan tarikh Noah akan kembali semula ke panggung untuk bertemu peminat.
Band tersebut bakal mengadakan konsert terakhirnya sebelum bercuti di Malaysia menerusi Noah Menemaniku Kuala Lumpur di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 11 November depan.
Kali terakhir NOAH menerbitkan album adalah pada 2019 bertajuk Keterkaitan Keterikatan. – UTUSAN