Netizen ‘sembur’ Haqiem Rusli, isteri menari dalam IG

GARA-GARA memuat naik video menari dalam media sosial, penyanyi Haqiem Rusli dan isterinya, Anis Sofea menjadi sasaran kecaman netizen yang kurang senang melihat aksi mereka.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik Anis dalam Instagram miliknya, wanita berusia 22 tahun itu dilihat menari-nari bersama Haqiem di parkir kereta.

“TikTok sahajalah. Gambar semua buruk,” tulis Anis.

Video yang dikongsi Anis atau nama lengkapnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri bergurau-senda bersama suaminya bagaimanapun mengundang rasa kurang senang netizen.

Rata-rata beranggapan Haqiem dan Anis seolah-olah tidak sensitif dengan apa yang sedang berlaku di Palestin.

“Hormatlah sikit apa yang sedang terjadi di Gaza. Saudara kita patut sebarkan mengenai Palestin. Bukan beria joget begini,” tegur seorang netizen.

“Orang Tengah sibuk dengan Palestin, dia boleh berjoget-joget,” sindir seorang lagi pengikutnya.

“Tak hormat langsung. Dah boleh kategori Israel juga,” komen seorang pengguna Instagram.

Bahkan, Haqiem juga dikecam apabila dikatakan sudah banyak berubah sejak berkahwin apabila tidak lagi menjaga aurat wanita lain seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Dulu Haqiem siap tutup aurat peminat (perempuan) yang nampak lengan, tak pakai tudung. Sekarang? Semoga Haqiem dan isteri kembali ke jalan Allah dan cepat berubah,” kata seorang netizen.

Dalam satu laporan Kosmo! Online pada April lalu, Haqiem atau nama lengkapnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, mengakui dirinya sedang menempuh dugaan berumah tangga susulan tindakan isterinya tidak lagi berhijab.

Meskipun enggan memperincikan lebih lanjut, Haqiem dilihat bersikap profesional selain enggan cepat melatah dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya dan isteri.

Terdahulu, pasangan sejoli itu disatukan sebagai suami isteri pada 19 November 2021 selepas dua tahun mengenali hati budi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok