ACAP kali menyertai pertandingan nyanyian, namun semuanya tidak menjadi. Bertahun-tahun diselimuti kesuraman karier yang diharapkan bersinar, semua itu tidak menjadi kekangan buat penyanyi Tyka Zatyka terus mengemudi bahtera seninya.
Anak kelahiran Johor itu pernah menyertai banyak program realiti termasuklah Bintang Klasik RTM, 3 Juara dan D’Academy Asia musim keempat, namun baginya rezeki sebagai seorang penyanyi masih belum beruntungan.
Pernah viral dengan lagu Cinta Happy dan Goyang Bersama, dia percaya suatu hari nanti, masanya akan tiba untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan penyanyi-penyanyi popular lain.
Tolak sensasi
“Rezeki itu ada di mana-mana. Orang nak cakap saya ‘sendu’, silakan. Kita takkan pernah tahu apa akan jadi pada masa depan.
“Sebilangan penyanyi mencuba untuk relevan dalam industri dengan membuka ‘pekung’ di dada, namun itu bukan cara saya.
“Saya tidak rasa popular perlu berdasarkan sensasi dan kontroversi, itu semua sementara,” katanya.
Selari dengan aspirasi untuk merancakkan karier seni, Tyka mempertaruhkan sebuah karya berunsur kerohanian berjudul Percaya.
Lagu tersebut adalah kerjasama Tyka bersama komposer Chevy Amry dan Azlan Abu Hassan.
Menurut Tyka, dia merasa terharu kerana lagu berkenaan adalah luahan dari hati sendiri.
Saya sampaikan emosi melalui hasil tulisan. Semoga lagu ini menjadi inspirasi kepada semua. Percintaan harus dikukuhkan dengan doa.
“Ingatlah hanya dengan meminta dan berdoa kepada Yang Maha Pencipta di situlah ketulusan cinta kita dinilai. Sama juga seperti saya.
“Jika saya mencintai, saya akan doakan cinta itu, kerana itulah bukti keikhlasan saya mencintai orang yang dicintai,” katanya yang pernah muncul dengan single Wangikanlah Hatimu duet dengan Noraniza Idris.
Ingin menyemarakkan nilai positif dalam berkarya, Tyka yakin Percaya membawa simbolik kepercayaan teguh manusia terhadap Tuhan.
“Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu Percaya ialah kita haruslah sentiasa bersyukur walau hidup penuh ujian. Terus berdoa dan kuatkan cinta pada Yang Esa. Semoga lagu ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya lagi.
Karya terbiran syarikat rakaman Chevy Amry Production mula memasuki pasaran digital menerusi platform penstriman termasuk iTunes dan Spotify sejak 8 Oktober 2023.
Video muzik Percaya juga sudah dilancarkan pada 10 Oktober lalu menerusi YouTube TYKAZATYKAOFFICIAL.