Nadhir Nasar tak hadap watak hero

BUKAN populariti yang dikejar Nadhir Nasar apatah lagi ‘naik’ dengan cara murahan seperti terpalit kontroversi murahan.

Semakin jelas terbukti, walaupun memiliki pakej lengkap, juara Hero Remaja 2020 itu masih belum bersedia sepenuhnya untuk memegang watak utama atau hero dalam sesebuah naskhah sama ada filem mahupun drama.

Baginya, itu bukan kemegahan watak dalam sesebuah naskhah yang hendak dikejar ketika ini tetapi kepuasan dalam lakonan.

“Buat masa sekarang, secara sedar atau tidak, saya sebenarnya belum lagi meme­gang mana-mana watak hero.

“Kebanyakan naskhah yang saya berlakon, semuanya karakter antihero atau ‘second lead’,” katanya kepada HibGlam baru-baru.

Melanjutkan bicara, dia yang popular menerusi drama Projek: High Council itu bukan sengaja ingin melepaskan rezeki tetapi masih mencari titik keyakinan dalam diri dahulu sebelum menggalas tanggungjawab tersebut.

“Buat masa sekarang, saya mahu gunakan sehabis baik usia muda ketika ini untuk teroka bakat yang ada dengan menja­yakan karakter antagonis dan sebagainya.

“Ada sesetengah watak yang saya tolak sebab masih belum ada keyakinan untuk menjayakannya. Saya rasa ada orang lain lebih bagus yang boleh melakukannya,” ujar pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu.

NADHIR bakal muncul dengan drama baharu berjudul Super Wira yang akan menemui penonton pada 23 Oktober ini di saluran Astro Ceria.

Tidak rasa rugi, dia bagaimanapun sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap semua rezeki yang sudah diaturkan Tuhan buat perjalanan seninya.

“Saya tak pernah fikir bahawa kalau lepaskan peluang menjadi hero, tiada akan ada rezeki lagi. Hakikatnya kepercayaan sebegitu salah.

“Saya ingin berada dalam industri ini untuk tempoh masa yang lama, jadi inilah peluang untuk mencari potensi diri.

“Jangan risau, rezeki itu sentiasa ada, Alhamdulillah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nadhir juga enggan meletakkan sebarang sasaran masa dalam memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk memegang watak utama dalam sesebuah naskhah.

Ujarnya, dia sentiasa percaya bahawa akan berada di titik tersebut satu hari nanti tanpa perlu terburu-buru.

“Saya tak mahu letak sebarang jangka masa untuk diri betul-betul bersedia ­terima watak hero. Bila dia ‘mai’ pada waktu yang tepat, saya akan terima dengan yakin.

“Setakat ini, saya tolak watak hero kebanyakannya untuk drama. Saya belum rasa sesuai dan yakin untuk jayakan watak hero terutama jenis romantik.

“Kalau jenis watak yang saya nak, tiada sebarang sasaran pun tetapi semuanya bergantung kepada skrip dan watak,” tuturnya yang bakal tampil dengan drama baharu, Super Wira yang bakal menemui penonton pada 23 Oktober ini.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok