DEMI merealisasikan hasrat memiliki perniagaan sendiri, penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail nekad mendalami ilmu pengurusan serta kepimpinan.
Menerusi kursus jangka pendek selama enam bulan di UTM Space, Kuala Lumpur, Gadaffi Ismail Sabri, 35, berjaya memperoleh Diploma Profesional Dalam Kepimpinan dari Program Kepimpinan Oxford oleh Pusat Kepimpinan Oxford (OXCEL).
“Kali terakhir saya bergraduasi 14 tahun lepas. Jadi, untuk kembali beradaptasi sebagai seorang pelajar memang agak mencabar pada mulanya.
“Saya sengaja ambil kos ini sebab mempunyai impian untuk memulakan perniagaan sekali gus menjadi seorang pemimpin yang bagus.
“Lagi pula ilmu kepimpinan ini tidak hanya di dalam perniagaan sahaja tapi juga berguna dalam hidup contohnya jika ingin menjadi ketua keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ditanya adakah sukar membahagikan masa menjadi pelajar dan bekerja pada masa yang sama, peserta Akademi Fantasia musim kelima itu tidak berasa terbeban memandangkan kelas hanya diadakan sebulan sekali di Kuala Lumpur.
Bukan itu sahaja, penyanyi Bila Terasa Rindu itu juga mendedahkan tidak kisah berhabis duit menyambung pengajian kerana pendidikan adalah segalanya.
“Dari segi perbelanjaan, tiada masalah kerana bagi saya pendidikan adalah segalanya.
“Sewaktu bergradusi, saya terserempak juga dengan penyanyi Rahmad Mega yang membuatkan saya terfikir artis kita bukan calang-calang.
“Semuanya mementingkan pendidikan dan mencari cara untuk tambah ilmu pengetahuan,” jelasnya.
Terdahulu, Dafi merupakan graduan Diploma Profesional Seni Muzik dan Bunyi dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing pada 2009. Semalam, Dafi diraikan di sebuah majlis graduasi yang diadakan di House of Parliament London.
Untuk makluman, Oxford leadership program bukanlah di bawah seliaan Universiti berprestij Oxford namun merupakan organisasi kepimpinan bebas British yang ditubuhkan di United Kingdom bagi memberikan kursus jangka pendek kepada pemohon. – UTUSAN