Mirip Lisa Blackpink, Jeryl Lee ‘Penang Mari’ juara di China

PENYANYI wanita kelahiran Pulau Pinang membanggakan negara apabila muncul juara pertandingan nyanyian antarabangsa, The Next 2023.

Lee Pei Ling atau nama pentasnya, Jeryl Lee yang berusia 23 tahun itu berjaya memukau juri pertandingan selepas mempersembahkan lagu Believer dendangan asal Imagine Dragons pada pusingan akhir pertandingan itu.

“Sehingga hari ini, saya masih rasa seperti sedang bermimpi. Saya amat berterima kasih kepada semua orang di sekeliling saya.

Saya sudah 15 tahun menyanyi. Bukan mudah untuk terus menyanyi sehingga kini. Setiap kali saya ingin berputus asa, saya memberitahu diri saya untuk bertahan di sana untuk sementara waktu lagi.

“Kali ini, saya dengan yakin boleh mengatakan saya berjaya melakukannya.” tulisnya dalam satu hantaran Instagram.

Dia juga mengambil peluang untuk berterima kasih kepada pasukannya, penerbit, pengarah dan jurulatih rancangan itu yang menyokongnya sepanjang perjalanan itu.

Susulan itu, ramai pengguna media sosial yang turut tumpang gembira dengan kejayaan luar biasanya dalam menonjolkan bakat nyanyian di arena antarabangsa.

“Aku dengar sampai habis lagu itu, sedapnya walaupun tak faham. Muka cantik pula tu iras Lisa. Semoga terus berjaya Jeryl Lee,” kata pengguna itu.

“Sedap sangat suaranya, cantik dan sempurna. Tahniah dan selamat maju jaya, kami sangat bangga dengan awak,” tulis Chyroll.

Ini bukan kali pertama Jeryl Lee menyertai program realiti nyanyian di peringkat antarabangsa dan pada tahun 2014 dia pernah menyertai pertandingan Water Cube Cup.

Wanita itu tampil menjadi juara dalam pertandingan itu dan mula mendapat perhatian ramai setelah menjadi finalis rancangan, Sing China. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok