SELEPAS dua hari dimasukkan ke hospital akibat demam panas, tahap kesihatan pelakon Puteri Sarah kini bertambah baik dan sudah ada selera makan.
Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, dia berharap segera sembuh seterusnya dapat keluar wad memandangkan perlu memenuhi jadual kerja yang telah dirancang awal.
“Teringinnya, beberapa hari tiada selera makan. Hari ni barulah boleh makan.
“Cepatlah sembuh Puteri Sarah, esok nak ‘terbang’ pula,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu turut menunjukkan hidangan barat yang membuka seleranya.
Kelmarin Puteri Sarah memaklumkan terpaksa mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah pusat perubatan swasta berikutan demam panas sejak lima hari lalu.
Puteri Sarah, 38, mengakui terpaksa mengalah ke hospital selepas lemah dan sukar berdiri sehingga perlu diberikan ‘drip’ paracetamol serta vitamin C.
Sebelum itu katanya dia tetap bersemangat memenuhi komitmen kerja tanpa menyedari suhu badannya naik mencecah 40 darjah celsius.
Pada masa sama, pelakon drama Hijrah Jannah itu tidak ketinggalan menitipkan nasihat kepada orang ramai supaya terus ke hospital andai kurang sihat. – HIBGLAM