PENGLIBATAN dalam dunia seni bukan satu gangguan buat atlet gimnastik artistik negara, Sharul Aimy untuk terus meningkat fokus dan prestasi memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris akan datang.
Sharul yang mencipta kejutan meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini tetap meletakkan komitmen di tangga paling teratas dalam sukan gimnastik berbanding perkara lain.
“Banyak kali saya ikut pergi ‘shoot’ dan hal lain. Itu pun tak memang tak kacau training atau latihan.
“Contohnya, kalau ada ‘job’, saya akan ambil hujung minggu atau waktu malam (kalau ada masa terluang) habis latihan,” katanya kepada Kosmo! Online pada acara makan malam bersama media tempatan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Pernah terlibat sebagai penampilan istimewa drama Journal Sa-haeyo terbitan Viu Malaysia, Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Aimy Mohd. Kamaru Hisam mengakui bahawa dunia lakonan bukan suatu perkerjaan yang mudah untuk dilunaskan.
“Susah bagi saya. Bukan senang walaupun adegan saya sikit tapi ambil masa dua hari untuk dilakukan. Mungkin lepas ini, boleh cuba lagi,” katanya.
Mengakui tidak akan selamanya berkecimpung dalam sukan gimnastik, Sharul, 22, tidak menolak andai terjun dalam dunia seni sepenuh masa suatu hari nanti.
Sungguhpun begitu, anak jati kelahiran Terengganu itu berkata, andai kudratnya sebagai seorang atlet tidak lagi diperlukan, dia ingin mencurahkan bakti sebagai jurulatih bagi mengasah bakat pelapis sukan gimnastik artistik tanah air.
“Ada orang panggil memang saya akan cuba (berlakon) tapi saya punya fokus mungkin jadi jurulatih pelapis-pelapis baharu sukan gimnastik.
“Sebab itupun memang impian saya nak bawa pelapis-pelapis ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Sharul akan menyertai empat kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik berturut-turut iaitu di Cairo (Mesir), cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac depan bagi memburu slot ke temasya sukan Olimpik Paris 2024. – HIBGLAM
View this post on Instagram