PENYANYI popular Sweden, Zara Larsson mempersoalkan kewarasan manusia yang secara terbuka menyokong tindakan biadab askar Israel menyerang Palestin.
Pelantun lagu On My Love itu dengan sinis memberi analogi sokongan bersifat ‘double standard’ yang ternyata tidak sama seperti kemelut peperangan antara Ukraine dan Rusia.
“Oh so it’s stand with Ukraine when Russia invades but not Palestin (oh beri sokongan terhadap Ukraine apabila Rusia serang tetapi tidak sokong Palestin),” coretnya menerusi Instagram Story.
Ramai bersetuju dengan kenyataan yang ditulis Larsson itu dan tidak kurang ada meminta dirinya agar tidak terlalu lantang mencanang pendirian tentang krisis yang melanda Israel-Palestin.
“Akhirnya, seorang selebriti dengan alasan yang betul,” tulis seorang pengguna aplikasi X.
“Dalam perkara ini, golongan selebriti sepatutnya diam dan hormat (dengan tidak berkata-kata),” tulis seorang pengguna media sosial lain.
Dalam pada itu, mogul kosmetik sensasi, Kylie Jenner menerima kecaman orang ramai kerana menzahirkan sokongan secara terang-terangan terhadap Israel dalam media sosialnya.
Bagaimanapun, tidak lama selepas mengulang siar hantaran yang antaranya berbunyi ‘I Stand With Israel’, Jenner bertindak memadam hantaran tersebut susulan dikecam ramai peminatnya.
Terdahulu, ramai selebriti Hollywood memilih untuk menunjukkan sokongan terhadap Israel termasuklah Kris Jenner, Jamie Lee Curtis, Gal Gadot dan Sarah Paulson.
Sementara itu, figura popular yang menyuarakan sokongan terhadap Palestin pula Emma Watson, Bella Hadid, Dua Lipa dan ramai lagi.
Sekadar info, angka kematian serangan mengejut pejuang Hamas ke atas selatan Israel meningkat kepada sekurang-kurangnya 700 orang termasuk 44 askar Zionis. – HIBGLAM