Maaf, saya tutup aurat kerana Allah – Mia Ahmad

DILABEL tidak moden dan kelihatan tua berbanding usia sebenar kerana memakai tudung labuh, pelakon Mia Ahmad menegaskan niatnya berpenampilan sebegitu kerana Allah.

Jelas pemilik nama penuh Samihah Ahmad Baderi itu, dia mahu terus memperbaiki diri menjadi wanita yang cakna tentang aurat.

“Bila orang cakap tudung labuh macam mak cik dan tak moden,  maaf, saya tutup aurat kerana Allah.

“Macam-macam orang kata. Ada yang cakap saya tidak akan istiqamah, malah ada sebut suami saya tidak akan menjadi sistem sokongan yang kuat dalam proses perubahan ini.

“Saya kuatkan hati sebab tahu saya buat benda betul, mentaati perintah Allah. Saya tahu saya tidak baik, maka saya ubah cara pemakaian untuk jadi lebih baik, bukan untuk nampak baik,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Kata aktres berusia 35 tahun itu lagi, sepanjang tempoh penghijrahan, segala urusan dipermudahkan dan diberi kekuatan Allah untuk terus istiqamah.

“Alhamdulillah banyak benda yang baik-baik datang tanpa henti. Semoga Allah terus menjaga niat hati saya dan kita semua.

“Saudaraku, saya doakan semoga Allah memberi hidayah buat kita semua. Hidayah yang berpanjangan.  Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya lagi.

Sudah mengenakan tudung labuh sejak 2021, isteri kepada bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi itu dilihat lebih selesa menguruskan perniagaan berbanding muncul di kaca televisyen.

Mia berkahwin dengan Izham pada 13 Januari 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok