Liza Hanim tak nak hanyut

PENYANYI Liza Hanim mengakui jolokan sebagai bakal juara All Stars Gegar Vaganza (GV10) seperti yang diperkatakan ramai sebenarnya satu tekanan kepada dirinya.

Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abd Halim, 43, bagaimanapun enggan hanyut dengan bayangan tersebut, sebaliknya berikrar memberikan persembahan terbaik bagi setiap tugasan konsert mingguan GV10.

“Pada awalnya memang ada rasa sedikit beban yang berat perlu dipikul ditambah dengan jangkaan orang ramai.

“Namun saya pilih untuk tolak semua benda itu dan fokus cara untuk bertahan setiap minggu kerana setiap peserta GV10 hebat serta miliki peluang sama (bergelar juara),” katanya yang ditemui selepas konsert minggu keenam di Auditorium MBSA semalam.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu menegaskan setiap peserta layak diberi gelaran juara kerana memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri.

“Semua hebat, ada identiti dan kekuatan mereka sendiri, jadi kami semua sedang melalui fasa survival.

“Kami hanya beri yang terbaik setiap minggu.

“Tolak ke tepi dahulu dakwaan akan bergelar juara atau perkara lain, hal yang penting sekarang ini ialah cuba sebaik-baiknya,” kata bekas naib juara GV musim keempat itu.

Berkongsi perasaan apabila diumumkan sebagai peserta meraih markah tertinggi selama dua minggu berturut-turut, dia mengakui tidak pernah menyangka hal tersebut ditambah dengan lagu yang dinyanyikan iaitu Rembulan sangat menguji  kemampuan dirinya.

“Apabila habis buat persembahan, memang rasa lega sangat tapi saya tak pernah menyasarkan pun untuk mendapat tempat pertama.

“Apa pun, alhamdulillah apabila diumumkan sebagai peserta dengan markah tertinggi.

“Adakalanya kalau letak sasaran sebegitu (tempat pertama) akan memberi bebanan terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Semalam, Liza sekali lagi diumumkan sebagai peserta yang mendapat markah tertinggi daripada barisan juri tetap selepas mendendangkan lagu Rembulan milik Krisdayanti.

Menurut ketua juri GV10, Datuk Ramli MS, Liza layak menerima markah tinggi kerana memberi persembahan mantap dan memiliki keyakinan tinggi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok